Bersatu bincang strategi pilihanraya dengan Pas

Bersatu bincang strategi pilihanraya dengan Pas

Bersatu melantik 12 wakil dalam Jawatankuasa Permesyuaratan Bersatu-PAS bagi merangka strategi menghadapi pilihan raya umum ke-15, maklum Setiausaha Agungnya Hamzah Zainudin.

Hamzah dipetik Bernama berkata Presidennya Muhyiddin Yassin sendiri mengetuai wakil Bersatu dalam jawatankuasa Bersatu-PAS peringkat pusat itu.

“Dalam masa sama, Bersatu juga bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang,” katanya yang juga menteri dalam negeri.

Menurut Hamzah, MPT Bersatu dalam mesyuaratnya semalam memutuskan untuk menyegerakan pelantikan Ketua Bahagian Ahli Bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasakan dan meningkatkan lagi penglibatan ahli-ahli bersekutu di seluruh negara.

Ahli bersekutu merujuk kepada ahli Bersatu yang bukan bumiputera.

Bersatu, PAS perkukuh PN

Bersatu juga, kata Hamzah akan terus memperkukuh kerjasama antara anggota Perikatan Nasional iaitu PAS, Star, SAPP dan Gerakan.

Ketika kerjasama antara PAS dan Bersatu semakin utuh, kerjasama antara PAS dan Umno pula didakwa sesetengah pihak tidak berada di tahap yang baik.

Sebelum ini, veteran Umno Shahrir Samad berkata gabungan Muafakat Nasional (MN) kini ‘cuma tinggal Umno BN sahaja.’

Katanya, Umno akan berdepan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata ikrar PAS dan Bersatu untuk mengukuhkan kerjasama dua parti itu dalam Perikatan Nasional (PN), jelas menunjukkan PAS tidak lagi memperkasa Muafakat Nasional (MN) bersama Umno.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 1 April membuat kenyataan tersirat, dipercayai merujuk kepada PAS supaya tidak mengulangi kegagalan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Semangat 46 dengan memilih sekutu yang salah dalam pilihan raya kelak.

“Kerana gabungan politik (APU) dibentuk tidak jujur dan genuine (ikhlas),” kata Zahid pada 1 April.

Hal ini selepas Umno membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Bagaimanapun, kelmarin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengingatkan partinya telah bekerjasama dengan banyak gabungan politik sebelum ini.

Jelasnya, sekutu yang mengakhiri kerjasama dengan PAS seringkali tidak akan bertahan lama.

“Siapa kerjasama dengan kita, terus. Yang tidak kerjasama dengan kita sama ada dah mati atau pun dah berkecai atau pun dah terkulai. Tak perlu saya sebut namalah.

“Baca sejarahlah. Tahun 1950an PAS kerjasama dengan Parti Negara, Parti Negara di mana sekarang? PAS ada lagi.

“Kerjasama dengan Barisan Sosialis (1960an). PAS ada lagi, Barisan Sosialis di mana sekarang?

“Kerjasama dengan Barisan Nasional (1970an). PAS ada lagi, BN di mana sekarang. Kerjasama dengan Semangat 46, di mana sekarang? PAS ada lagi,” kata Hadi.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/569368