Berikan para pelajar telefon pintar yang baik bukan ‘cap ayam’, kata pemuda Amanah

Berikan para pelajar telefon pintar yang baik bukan ‘cap ayam’, kata pemuda Amanah

Pemuda Amanah Negeri Perak memandang serius pengakuan Exco Pendidikan Negeri Perak bahawa 20,000 telefon pintar untuk program Tuisyen Cikgu Saarani adalah telefon berkualiti rendah.

Malah yang lebih mendukacitakan, alasan yang diberikan adalah untuk mengelak para pelajar daripada memuat turun aplikasi game.

Oleh itu Pemuda Amanah Negeri Perak mendesak agar Kerajaan Negeri Perak mendedahkan jumlah peruntukan sebenar dan spesifikasi telefon pintar yang diberikan.

Pemuda AMANAH Negeri Perak juga percaya kerajaan Negeri Perak dapat melaksanakan penjimatan yang besar dengan jumlah pembelian telefon pintar sebanyak itu berbanding harga pasaran.

Justeru Pemuda AMANAH Negeri Perak menggesa kerajaan Negeri Perak membekalkan telefon pintar yang mempunyai spesifikasi yang sederhana elok agar ia bukan sahaja sesuai untuk PDPR, malah ia sesuai untuk kegunaan seharian seorang pelajar dalam dunia Revolusi Industri 4.0.

Tidak guna kita bercita-cita untuk mencontohi negara – negara maju dalam memberi pendidikan norma baharu kepada pelapis negara tapi pemikiran pemimpin kita sendiri masih lagi di takuk lama.

Adalah malang ketika dunia sudah melangkah sehingga teknologi 5G tapi pemikiran pemimpin kita masih lagi di era Nokia 3310.

Sedarlah wahai Exco bahawa sekarang adalah tahun 2021, bukan lagi tahun 1990. Telefon pintar bukan lagi satu kehendak tapi ia satu keperluan mendesak khususnya untuk para pelajar yang terpaksa menghadapi PDPR sepanjang pandemik Covid-19 ini.

Fikir-fikirkanlah.

Mohd Ikhmal bin Mohd Iskandar
Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Negeri Perak