“Berapa banyak serbuan nak buat?” Pengilang kesal jumlah serbuan berbeza dari agensi penguatkuasaan

“Berapa banyak serbuan nak buat?” Pengilang kesal jumlah serbuan berbeza dari agensi penguatkuasaan

Kumpulan pengusaha pembuatan terbesar di Malaysia mengadu bahawa agensi penguatkuasaan mengganggu operasi perniagaan dengan pemeriksaan pematuhan peraturan Covid-19 yang dibuat sewenang-wenangnya.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata, nampaknya seperti tiada koordinasi antara agensi-agensi tersebut, “menjadikan hidup sangat sukar” bagi anggota FMM.

“Industri ini banyak diserbu dan menerima kunjungan oleh agensi penguatkuasaan yang berlainan pada waktu yang berlainan,” katanya kepada FMT.

“Dalam tempoh yang sangat mencabar ini, serbuan-serbuan begitu benar-benar mengganggu operasi.”

Soh juga berkata pasukan penguat kuasa kadang-kadang datang bersama wakil media, dan ini menjadikan pemilik perniagaan “sangat tidak selesa”.

“Memandangkan kebanyakan syarikat kini beroperasi pada kapasiti yang berkurangan, kunjungan harian sebegini mengganggu.

“Pasukan penguatkuasaan kadang-kadang besar dan ada masanya, tidak mematuhi SOP (prosedur operasi standard) syarikat yang dikenakan ke atas pengunjung,” katanya.

Menyeru agar koordinasi yang lebih baik diatur antara pihak berkuasa, beliau meminta syarikat diberi waktu untuk memperbaiki masalah, dengan berkata, mereka tidak sepatutnya segera diarahkan tutup dan dikenakan denda bersifat menghukum.

Katanya, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kesempitan wang beroperasi dalam ketakutan walaupun mempunyai kelulusan yang diperlukan untuk beroperasi.

“Kami meminta kerajaan mempertimbangkan kelulusan ‘en bloc’ bagi seluruh rantaian bekalan sektor perlu untuk beroperasi.

“Syarikat dalam sektor perlu berdepan cabaran dalam mempertahankan operasi mereka kerana banyak pembekal utama mereka dianggap tidak perlu dan tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Naib Presiden Nasional Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong juga menyuarakan keprihatinan terhadap cara pihak berkuasa melakukan pemeriksaan di kilang-kilang.

Beliau mendakwa, pegawai penguat kuasa tidak mengemukakan surat atau waran rasmi ketika memeriksa premis perniagaan.

“Kami tidak keberatan dikenakan pemeriksaan mengejut, tetapi kami berasa seolah-olah menjadi sasaran.

“Kami juga mempunyai kebimbangan mengenai orang luar yang masuk ke dalam premis kami. Bagaimana jika mereka dijangkiti Covid-19?”

Semalam dilaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan 63 kilang ditutup sejak Isnin.

Dalam tempoh tersebut, KDN dan agensinya memeriksa 7,387 kilang dan 41,383 premis perniagaan, yang membawa kepada 21 penangkapan dan pengeluaran 201 notis kompaun.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/19/penguat-kuasa-serbu-sembarangan-ganggu-perniagaan-dakwa-kumpulan-pengilang/