Bendera Putih : Nik Abduh terus pertahan kenyataannya

Bendera Putih : Nik Abduh terus pertahan kenyataannya

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung kempen bendera putih walaupun menyedari ramai yang marah dan memintanya memohon maaf.

Katanya, beliau hanya memberikan pandangannya mengenai kempen itu yang ternyata berbeza dengan pandangan orang ramai.

“Tulisan saya sentiasa tegar untuk mengajak rakyat berfikir secara dalam dan teliti. Ia demi kesejahteraan negara.

“Seruan saya, lawan Covid-19 dengan kesatuan, doa dan usaha berterusan atau mudahnya, lawan Covid-19 dengan cara anjuran agama,” katanya di Facebook.

bendera putih

Selasa lalu, dalam catatannya di Facebook Nik Abduh berkata, “angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih”.

Kenyataan Nik Abduh itu turut dikecam penganalisis yang menganggap beliau memperlekehkan kempen bendera putih yang dimulakan di media sosial untuk membantu rakyat dalam kesusahan susulan usaha kerajaan membendung Covid-19.

Dalam pada itu, Nik Abduh berkata, sesiapa sahaja berhak menolak cadangannya.

“Ia bukan menjadi kebenaran hanya kerana viral. Yang ditegah adalah menolak kebenaran.

“Viral bukan panji kebenaran. Sebahagiannya kebaikan dan bagus sekali dan saya sentiasa yakin sebahagian besarnya adalah hasutan dan tipu daya iblis. Ia mendorong kenistaan, kebencian dan perlecehan terhadap sesama insan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/02/seruan-saya-lawan-covid-19-dengan-cara-anjuran-agama-nik-abduh-pertahan-kenyataan-bendera-putih/

BACA JUGA : Keluar kerajaan PN : Zahid dilapor kumpul tandatangan MP Umno