Benarkah Umno berada pada kedudukan lemah?

BENARKAH UMNO berada di persimpa-ngan? Jika UMNO lemah, mengapakah kedudukannya menjadi tumpuan ramai atau apakah ini satu permainan politik untuk melemahkan atau menguatkan parti siasah yang berstruktur seperti Pas dan DAP?

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), UMNO telah cuba melakukan anjakan baharu dengan menilai semula kedudukan apabila menjadi pembangkang buat pertama kalinya.

–– ADVERTISEMENT ––

Presiden UMNO juga tidak menjadi Perdana Menteri. Ketika itu UMNO memperoleh 54 kerusi dan lapan daripadanya majoriti mudah, manakala 41 kerusi pula, UMNO menang kerana perpecahan undi daripada pelbagai penjuru.

Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) menang 39 kerusi bandar berbanding Pas, dua kerusi dan BN hanya satu kerusi. Kerusi separa bandar melihat PH menang 45, Pas (empat), Warisan (satu) dan BN (enam). Kerusi luar bandar pula melihat PH menang 29 kerusi, Pas (12), Warisan (tujuh) dan BN (72).

Bagi kerusi Felda, BN hanya menang 27 kerusi, manakala PH (20) dan Pas (lima). Undi dalam kalangan pengundi Melayu kepada BN adalah 46 peratus, Pas (28 peratus) dan PH (26 peratus).

Pengundi Cina 2.4 peratus kepada BN berbanding 93 peratus untuk PH dan pengundi India 26 peratus kepada BN berbanding 63 peratus kepada PH. Siapakah UMNO hari ini?

Fasa 2018-2019 menunjukkan UMNO cuba membina semula parti. Daripada kejutan kekalahan, ia cuba bangkit dengan menggunakan perjuangan sebagai asas. Rakan sekutu tinggalkan gabungan BN kecuali MCA dan MIC. Pertukaran Presiden berlaku, bergelut dengan imej tercalar dan dana parti turut disita.

Ada sebilangan meninggalkan parti, manakala selebihnya kekal melakukan muhasabah parti. Mereka inilah yang sedang memandu parti kini. Jelas, dalam politik tidak ada lawan atau kawan yang tetap, hanya kepentingan.

Persamaan

Fasa 2019-2020 melihat UMNO cuba memulihkan parti. Dinamika politik baharu menyebabkan UMNO cuba meleraikan isu bersama Pas dan mencari persamaan tatkala berada dalam blok pembangkang sehingga termeterai Piagam Muafakat Nasional (MN) atas nama Melayu-Islam.

Siri kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) memapar kelebihan kerjasama UMNO-Pas. Ia dilihat petunjuk baharu sehingga tumpasnya PH dan kemunculan Perikatan Nasional (PN).

Fasa 2020-2021 adalah cubaan UMNO untuk mengukuhkan parti. Ia mahu menjadi pemimpin rakyat dan bukan pemimpin parti. Walaupun menyertai kerajaan PN, ia kekal kritikal ke atas pentadbiran Perdana Menteri yang dilakukan oleh pimpinan UMNO tanpa jawatan walaupun rakan separti berada dalam Kabinet. Fasa itu dilihat semakin ketara selepas Pilihan Raya Negeri Sabah. MN menjadi longgar selepas Pas membuat keputu-san menyertai PN secara rasmi.

Cabaran dalaman termasuk soal kepimpinan, politik [email protected] dan hala tuju mendominasi. Desakan luaran termasuk hubungan dengan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan PKR muncul di fasa ini. Pada waktu yang sama, enam parti menjadi teras kepada orang Melayu-Islam hari ini.

Legasi atau survivalitas menjadi pilihan? UMNO masih kekal dalam kerajaan sehingga PRU15. Tanpa mendominasi, ia berasa kekok dipimpin oleh parti serpihannya, Bersatu. Cabarannya adalah keupayaan untuk ‘merakyatkan UMNO’ di mata masyarakat.

UMNO tidak mahu dilabel parti menderhaka kepada penyatuan ummah atau mengkhianati kerajaan hari ini. Cabaran daripada literasi politik rakyat yang memerhati semakin tinggi. Formula baharu perlu dirangka jika kemena-ngan dicari.

UMNO sebenarnya berada di persimpangan untuk membuat keputusan yang akan mencatur kedudukannya pada PRU15. Jika agihan kerusi dan kompromi UMNO, Bersatu dan Pas selesai, maka mudah. Andai kata kerjasama dengan PN tidak berlaku, ke manakah arahnya?

Dua, jika sekiranya Pas hanya memilih untuk mengukuhkan PN, maka tidak ada lagi MN? Tiga, bersediakan UMNO bergerak secara bersendirian? Bagaimana jika tiga atau lebih penjuru? Apa tawa-ran UMNO jika tidak bersama PN dan MN? Siapakah calon Perdana Menteri BN jika itu keadaannya?

Masih adakah simpang ‘kejujuran’ dalam politik?

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/124912/KOLUMNIS/Benarkah-UMNO-di-persimpangan

COMMENTS

Wordpress (0)