Benarkah Taliban sudah berubah?

Benarkah Taliban sudah berubah.Taliban perlu diberi masa untuk membuktikan sama ada benar mereka sudah berubah sepertimana yang dinyatakan apabila mereka menguasai semula Kabul pada 15 Ogos tempoh hari.

Mereka perlu berusaha keras menghapuskan stigma menebal dunia yang sekian lama memandang kumpulan itu sebagai entiti keganasan dan ekstremis, kata Penolong Profesor ISTAC-IIUM Dr Ahmad El-Muhammady.

“Saya akui bahawa dunia masih dalam kesukaran untuk menerima (Taliban) dan menolak stigma-stigma yang berlaku, yang pernah mereka dapat dan lihat sebelum ini, dan ini merupakan satu cabaran kepada Taliban.

“Ini kerana, menjalinkan hubungan di peringkat antarabangsa dengan negara-negara lain, terutamanya jiran mereka, adalah satu keutamaan,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Taliban mengatakan mereka sudah belajar daripada kesilapan lalu, antaranya membuat kenyataan akan membenarkan kaum wanita mendapat pendidikan dan bekerja, tidak seperti zaman pra-Amerika 20 tahun yang lepas.

Taliban

Begitupun, dunia tetap berwaspada termasuk Malaysia yang perlu tunggu dan lihat sejauh mana kata-kata itu dapat diterjemahkan dengan tindakan dalam fasa baharu pentadbiran mereka di Afghanistan.

“Satu lagi cabaran untuk Taliban adalah mewujudkan keamanan, kerana di dalam Afghanistan itu sendiri masih ada Al-Qaeda walaupun belum lagi ‘bersuara’.

“ISIS pula sudah mula menunjukkan belang apabila melancarkan serangan berani mati di lapangan terbang baru-baru ini,” tambah Ahmad.

Taliban menyatakan bahawa mereka boleh menguruskan hal ini.

Andai Soviet, British, Amerika dan NATO dapat diusir, ISIS, kata mereka, boleh ditangani dengan cepat.

Namun Ahmad melihat kenyataan Taliban itu sebagai keterlaluan, maka ruang harus diberi untuk mereka mengotakan apa yang dikata, sebelum Malaysia dapat mengiktiraf kedudukan mereka.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-dunia/tunggu-dan-lihat-sama-ada-taliban-benarbenar-berubah-ahmad-elmuhammady-317333

BACA: KKM mungkin cadang individu enggan divaksin jalani ujian saringan berjadual