Benarkah kos baiki kereta banjir cecah RM 60 ribu seperti ditularkan?, Ini jawapannya

Benarkah kos baiki kereta banjir cecah RM 60 ribu seperti ditularkan.Kos membaiki kenderaan yang tenggelam kerana banjir memang boleh mencapai angka yang besar.
Menurut Mohd Jaafar bin Shaik Fareed, Ketua Kluster Automotif, Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), kenderaan zaman sekarang tidak seringkas kenderaan dahulu.

“Ramai pemilik yang terkejut dan mereka mencari kami untuk mendapat khidmat alternatif dengan harga yang lebih rendah,” kata Jaafar.

Antara kos-kos sebutharga yang diterima PPIPBM oleh mangsa-mangsa banjir dari pusat servis rasmi ialah:

Perodua Axia – RM18,000
Perodua Myvi – RM22,000
Honda City – RM37,000
Honda Civic FC – RM67,000
Honda C-RV – RM60,000 (untuk enjin dan elektronik)
Toyota Vios – RM38,000

Harga-harga tersebut bergantung kepada kemusnahan kepada kenderaan itu dan bukannya harga seragam.

 

Jaafar berkata dalam usaha industri untuk menjadikan kenderaan itu lebih selesa, premium, berprestasi tinggi dan menjimatkan bahan api, kenderaan semakin bergantung kepada teknologi elektronik dan musuh utama elektronik ialah air.

“Untuk memastikan ruang kabin senyap, syarikat kenderaan menggunakan banyak penebat bunyi. Bahan itu akan musnah jika terendam lama di dalam air dan bengkel perlu buka, keringkan jika masih boleh diguna atau terpaksa gantikan,” ujar Jaafar.

Benarkah kos baiki kereta banjir cecah RM 60 ribu seperti ditularkan?, Ini jawapannya

“Enjin sekarang juga menggunakan banyak teknologi elektronik. Jika enjin turbo pula, lebih kompleks dan rumit untuk dibaiki,” sambungnya.

Jaafar berkata hasrat kerajaan untuk membantu mangsa dengan pemberian rebat RM1,000 bagi membaiki kenderaan yang terkesan kerana banjir patut dipuji tetapi jika industri bengkel automotif tidak ada kawalan yang baik, insentif itu mungkin tidak akan dimanfaatkan secara betul.

“Peningkatan kualiti dan mutu bengkel kenderaan perlu selari dengan kepesatan teknologi kenderaan itu sendiri. Malaysia perlu ada sistem pengkelasan dan pemantauan yang lebih telus untuk memastikan profesion mekanik mempunyai masa hadapan yang cerah.

Untuk memastikan pengguna tidak menjadi mangsa, kawalan perlu wujud. Ini bermakna, pembukaan bengkel perlu menurut piawaian yang seragam di seluruh negara agar kadar upah dan disiplin boleh dikawal selia,” terang Jaafar.

“Bagaimana kita hendak tentukan harga upah? Jika hotel mempunya pengkelasan bintang dan harga bilik menurut sistem itu, bagaimana dengan bengkel?”

Jaafar meminta agensi-agensi berkaitan agar lebih serius dalam perancangan mereka dan bukan sekadar membuat majlis perasmian dan terus tiada khabar berita selepas itu.

“Jika kerajaan mahu mempromosikan kenderaan elektrik, isu-isu hak pengguna perlu dijaga kerana kenderaan canggih mempunyai banyak masalah bukan teknikal – bermakna mekanik perlu menjadi pakar komputer untuk membaiki kenderaan tersebut,” Jaafar menamatkan perbualan.

Adakah Malaysia benar-benar sudah bersedia?

BACA: Banjir : Orang ramai jangan salahkan pembalakan sahaja, tegur pemimpin Pas
Kereta terbang buatan Perancis akhirnya bakal berada di pasaran, harga mampu tengok
Foto kereta sedan model terbaru Perodua kini tular

Artikel ini disiarkan pada 11/01/2022