Belum pun habis penat mencuci kesan banjir, kini air naik balik lebih tinggi

Belumpun habis penat mencuci kesan banjir, kini air naik balik lebih tinggi.Tersedar daripada lena selepas kakinya terkena air yang membanjiri ruang tamu rumah, menyelamatkan seorang warga emas apabila tilam tempat tidurnya hampir ditenggelami air dalam kejadian banjir di Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai di sini.

Osman Samad, 71, berkata mereka sekeluarga yang baru selesai mengemas dan membersihkan rumah selepas air surut sepenuhnya tiga hari lepas, kini terpaksa menghadapi situasi sama selepas hujan lebat sejak Jumaat menyebabkan air sungai berhampiran melimpah.

Katanya, beliau dan isterinya sebelum ini menumpang di rumah anak mereka juga baru sempat tidur semalaman di rumahnya dan tidak menyangka banjir yang berulang itu lebih teruk daripada kejadian dua minggu lepas.

“Waktu itu lebih kurang pukul 5 pagi, saya tersedar ketika berkalih kaki dan terkejut melihat air mula memenuhi rumah. Air juga naik dengan cepat, namun alhamdulillah saya dan keluarga sempat keluar dari rumah itu.

“Kali ini air naik hampir satu meter berbanding minggu lepas yang hanya separas lutut, belum habis penat mengemas kini terpaksa berdepan dengan ujian banjir lagi,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu di sini hari ini.

Osman berkata beliau telah berdepan dengan masalah banjir hampir 80 kali sepanjang tempoh tinggal di rumah tersebut sejak 50 tahun lepas.

Katanya, beliau juga sudah lali dengan situasi tersebut dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai rumah lain untuk berpindah dari kawasan berkenaan.

“Kawasan rumah saya memang rendah berbanding kawasan lain di situ dan juga dekat dengan sungai, tiap kali hujan lebat saya sudah jangkakan perkara ini akan berlaku selain akan menyelamatkan dokumen penting terlebih dahulu.

“Kalau mahu berpindah ke tempat lain saya tidak mempunyai rumah atau tanah untuk buat rumah lain, saya hanya reda dan terima keadaan ini sebagai ujian dalam kehidupan,” katanya.

BACA: Amaran hujan sangat lebat berterusan di Johor mulai hari ini
Anggota TLDM didakwa rogol remaja 17 tahun

Artikel ini disiarkan pada 03/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)