‘Beli’ ahli parlimen PH langkah Muhyiddin untuk matikan Umno

‘Beli’ ahli parlimen PH langkah Muhyiddin untuk matikan Umno

Secara kasar, yang dilihat cuba dilemah dan digagalkan dengan tindakan melompat dua Ahli Parlimen semalam ialah PH, PKR dan Anwar Ibrahim.

Melompat kataknya Ahli Parlimen Julau, Larry Sng serta Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dari PH untuk menyokong PN dan Muhyiddin Yassin serta-merta dilihat memberi kelebihan kepada kedudukan kerajaan yang sekian lama dipertikai keabsahannya.

Sekaligus, ramai yang mentafsirkan kedudukan PH kian lemah dan peluang Anwar mengejar jawatan Perdana Menteri dilihat jadi semakin menjauh.

Namun, jika diteliti, tindakan Muhyiddin dan PN “membeli” dua Ahli Parlimen tersebut mempunyai matlamat yang lebih jauh daripada itu.

Tambahan lagi, sementara dua Ahli Parlimen PKR sudah berjaya “dibeli”, terdengar lagi perkhabaran bahawa ada empat Ahli Parlimen Warisan sedang dalam perhatian untuk ditawarkan harga bagi jual beli yang sama.

Hakikat bahawa melompat mereka itu kerana “dibeli” tidak dapat diselindungkan lagi berikutan pengakuan kedua-duanya tentang kesukaran dana untuk menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing jika mereka terus berada di pihak pembangkang.

Berikutan dana dan untuk kesukaran menyelesaikan rakyat jadi masalah, tentulah jalan mudahnya ialah wang, kedudukan, jawatan atau projek juta-jutaan.

Memang memastikan Anwar tidak berjaya mengambil alih kuasa sebelum PRU15 adalah sebahagian matlamat utama Muhyiddin sekarang ini.

Dengan berjaya menyekat Anwar mengambil alih kerajaan bermakna Muhyiddin akan mampu bertahan lebih lama dan PRU15 boleh ditangguhkan sehingga ke tahun 2023.

Apabila PRU dilewatkan sehingga tahun 2023 dan Muhyiddin dengan dibantu Azmin Ali serta Hamzah Zainuddin terus mencatur kuasa sehingga ke tempoh tersebut, perkiraan seterusnya ialah untuk memastikan PN mampu memenangi PRU15.

Dalam PRU15, selain PH merupakan cabaran atau musuh yang tidak boleh dielakkan, ketakutan lain bagi Muhyiddin, Azmin, Hamzah dan PN ialah cabaran atau tentangan daripada UMNO.

Jika UMNO tidak bersama PN dan memilih bertanding bersendirian atas nama BN, seterusnya menjadikan pertandingan tiga penjuru dalam PRU15, peluang Muhyiddin, Azmin dan Hamzah untuk kekal berkuasa adalah tersangat nipis.

Bukan saja Azmin, Hamzah dan lain-lain Ahli Parlimen Bersatu sukar mengekalkan kedudukan di kawasan Parlimen masing-masing, malahan Muhyiddin sendiri dilihat tergugat di Pagoh.

Hanya jika UMNO berjaya dilemahkan dan seterusnya setuju bekerjasama dengan Bersatu dan PN, barulah di situ sebenarnya ada peluang untuk Muhyiddin dan gerombolannya terus dapat bertahan.

Jadi, tindakan mereka “membeli” beberapa Ahli Parlimen pembangkang untuk menguatkan kedudukan kerajaan PN dan Muhyiddin sekarang tidak dinafikan terselindung maksud tersirat lain yang lebih besar di sebaliknya.

UMNO tidak mungkin dapat dilemahkan dalam tempoh kurang enam bulan daripada sekarang, tetapi jika PN diberi lanjutan masa sehingga tahun 2023, banyak perkara boleh mereka lakukan dalam jangkamasa tersebut.

Selain kes mahkamah pemimpin UMNO mungkin sudah diakhiri dengan pemenjaraan, peralihan kepimpinan UMNO kepada mereka yang pro Bersatu dan Muhyiddin juga tidak mustahil dapat direncanakan dengan lebih tersusun.

Sebab itu, perkembangan terbaru ini yang memperlihatkan dua Ahli Parlimen sudah melompat dan mungkin bakal disusuli ramai yang lain lagi akan berbuat demikian, ia seharusnya lebih membimbangkan UMNO berbanding PH dan Anwar.

PH dan Anwar, berdasarkan Muhyiddin dan PN mempunyai kedudukan kuasa serta kewangan tanpa batasan, ia memang boleh dilemahkan buat seketika tetapi tidak dapat dielakkan untuk didepani dalam PRU15 nanti.

Ketika itu, penentuan adalah di tangan rakyat membuat pilihan.

Berbeza dengan UMNO, walaupun kepimpinannya sekarang tidak pro Bersatu dan PN, tetapi UMNO masih merupakan sebahagian daripada kerajaan PN dan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Keadaan ini menjadikan UMNO, lantaran sebahagiannya lebih tergoda dengan habuan berbanding mengekalkan perjuangan, sudah mula terpecah dua dan mahu Muhyiddin terus diberi peluang berkuasa lebih lama lagi.

Yang barangkali tidak disedari, dengan memberi peluang Muhyiddin berkuasa lebih lama, ia sudah tentu akan meletakkan Azmin dan Hamzah lebih berkuasa dan bakal disusun untuk menerajui negara selepas itu.

Maka, jika UMNO berjaya dilemahkan dan kepimpinannya ditukar kepada yang pro Bersatu, di mana masa depan parti itu dengan cita-citanya untuk kembali berkuasa dan merebut kembali jawatan Perdana Menteri dalam PRU15 akan datang?

Berita penuh : https://shahbudindotcom.net/2021/03/01/walau-ahli-parlimen-ph-dibeli-tapi-yang-muhyiddin-ingin-mati-adalah-umno.html