Belgium pula umum sekat minyak sawit Malaysia

Belgium pula umum sekat minyak sawit Malaysia

Pasaran minyak sawit Malaysia tidak terjejas walaupun Belgium memutuskan menyekat atau melarang pengimportan dan penggunaan minyak sawit di negara itu bermula tahun depan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana pasaran minyak sawit Malaysia masih lagi besar selain terdapat negara lain yang mengimport minyak sawit negara.

“Belgium tidak terima tapi kita ada banyak negara lain, ada negara yang telah bertemu dengan kita seperti Afghanistan yang bersedia untuk menambah import minyak sawit dari negara kita iaitu dari 75,000 tan sehingga 100,000 tan.

“Kita akan bergerak agresif untuk pasarkan ke rantau ini termasuklah ke Asia Barat dan Afrika,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kepada Golongan B40 Pekebun Kecil Getah, di sini pada Ahad.

Baru-baru ini Belgium dilaporkan akan melarang bahan api biologi (biofuel) diperbuat daripada soya dan minyak sawit mulai tahun depan kerana kebimbangan mengenai aktiviti penebangan hutan.

Nilai eksport agrikomoditi sawit Malaysia ke Belgium pada tahun lalu berjumlah RM207 juta dan setakat Januari hingga Februari tahun ini ia mencatat sebanyak RM36 juta.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohd Khairuddin berkata, Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia di Jeddah, Arab Saudi yang merangkumi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dijangka beroperasi pada Mei depan.

“Tujuan pembukaan pejabat itu adalah memperluaskan dan menggerakkan pemasaran secara agresif di Asia Barat dan juga Afrika yang mempunyai potensi sangat besar,” katanya.

Pada Ahad, di Laman Gentam, di sini Mohd Khairuddin menyampaikan sumbangan wang tunai yang disalurkan melalui MRC berjumlah RM10,000 kepada 100 penerima golongan 40 peratus terendah (B40) pekebun kecil getah.

Kesemua penerima mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Pilah iaitu Senaling, Juasseh, Johol, Pilah dan Seri Menanti

Berita Penuh :https://www.sinarharian.com.my/article/134184/BERITA/Nasional/Pasaran-minyak-sawit-Malaysia-tidak-terjejas