Belanjawan 2021 : Institusi parlimen seperti dipinggirkan

Belanjawan 2021 : Institusi parlimen seperti dipinggirkan

Institusi parlimen terus mendapat peruntukan yang rendah dalam Belanjawan 2021. Peruntukan parlimen hanya meningkat 0.1 peratus atau RM163,000 menjadi RM145.3 juta jika dibandingkan peruntukan dalam Belanjawan 2020.

Semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH), peruntukan kepada parlimen meningkat daripada RM137.4 juta pada 2019 kepada lebih RM145 juta pada 2020.

Ia adalah peningkatan sebanyak RM7.7 juta atau 5.3 peratus.

Komitmen untuk menambah peruntukan parlimen dalam Belanjawan 2020 selari dengan usaha PH menambah baik fungsi parlimen dengan pembentukan 11 jawatankuasa pilihan khas bagi menyemak dan mengimbangi tadbir urus kerajaan.

Namun, peruntukan parlimen yang masih kekal rendah dalam Belanjawan 2021 mencerminkan sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak serius mahu memastikan perkhidmatan parlimen berubah ketika isu rakyat dan negara semakin mencabar.

Parlimen seolah-olah dipinggirkan dalam Belanjawan 2021.

Apa yang mengecewakan ialah Belanjawan 2021 memberi peruntukan begitu besar kepada ‘jentera politik’ pemerintah walaupun sepatutnya dana sebegitu perlu disalurkan untuk menambah baik sistem demokrasi berparlimen Malaysia.

Pertama, kerajaan memberi RM85.5 untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebagai alat propaganda kerajaan. Jumlah peruntukan itu hampir 40 peratus daripada jumlah peruntukan parlimen secara keseluruhan bagi Belanjawan 2021.

Ini merupakan amalan tadbir urus yang tidak munasabah dan sekali lagi mempamerkan kelemahan kerajaan PN. Apakah justifikasi mereka memberikan dana kepada badan politik jika Perdana Menteri yakin tadbir urusnya mendapat sokongan rakyat dan parlimen?

Boleh buka peluang pekerjaan

Kedua, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerima penambahan dana besar, daripada RM7.9 bilion pada 2020 kepada RM11.6 bilion pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak RM3.79 bilion atau 32.4 peratus.

Peningkatan dana JPM ini seolah-olah mengembalikan semula kuasa besar kepada perdana menteri membuat keputusan tanpa mekanisme semak dan imbang.

Adakah ini bermaksud perdana menteri merupakan institusi yang paling berkuasa berbanding parlimen yang mendapat peruntukan lebih rendah?

Ketiga, peruntukan RM8.8 juta bagi membantu jentera politik PN yang dipanggil Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT). Ia digambarkan sebagai badan yang berperanan seperti ahli majlis untuk menyebarkan dasar kerajaan di negeri dan kawasan pembangkang.

Program ini menyediakan hampir 288 jawatan yang bakal diisi ahli politik PN sebagai alat propaganda dengan mendapat elaun bulanan sebanyak RM2,000 dan peruntukan RM10,000 setahun untuk mengadakan program di sesuatu kawasan.

PeKT ini secara terang-terang cuba menganggu hak dan tugas wakil rakyat pembangkang yang dipilih oleh rakyat secara demokratik.

Jadi, mengapa tidak peruntukan tersebut diagihkan kepada ahli parlimen pembangkang jika kerajaan benar-benar ingin membantu rakyat seperti yang mereka selalu uar-uarkan?

Wajar sekiranya peruntukan politik dalam Belanjawan 2021 seperti untuk Jasa, JPM dan KePT dibatalkan. Kemudian dana berkenaan diagihkan sebagai peruntukan perkhidmatan parlimen yang begitu penting bagi menyelesaikan isu rakyat dan negara pada waktu krisis ini.

Jadi, apakah kebaikan sekiranya dana politik ini disalurkan kepada parlimen?

Dana dari kerajaan dinafikan

Pertama, parlimen boleh memperluaskan kakitangan mereka dan membuka peluang pekerjaan kepada graduan atau orang muda, terutamanya dalam bidang penyelidikan bagi membantu wakil rakyat menganalisis dasar kerajaan.

Kedua, jawatankuasa pilihan khas dapat ditambah lebih banyak bagi menyemak dan mengimbangi pelaksanaan dasar kerajaan PN yang mempunyai jumlah kementerian yang besar.

Jumlah jawatankausa itu boleh ditambah melebihi 10 bagi menyemak tadbir urus atau dasar setiap kementerian.

Ketiga, parlimen juga boleh menaik taraf infrastruktur teknologi supaya ia boleh bergerak secara maya (virtual) pada waktu yang kritikal seperti sekarang.

Ia penting bagi memastikan parlimen terus berfungsi tidak kira dalam keadaan apa sekali pun.

Keempat, peruntukan kawasan kepada ahli parlimen juga boleh diberikan secara saksama. Contohnya, pembatalan dana RM8.8 juta bagi program KePT membolehkan peruntukan itu disalurkan kepada setiap ahli parlimen bagi membantu rakyat dan pembangunan kawasan, khususnya ahli parlimen pembangkang yang dinafikan dana rasmi daripada pihak kerajaan.

Hakikatnya, Belanjawan 2021 tidak seharusnya dibelanjakan untuk kepentingan politik kerajaan PN untuk meluaskan pengaruh mereka.

Perkara ini tidak wajar dilakukan ketika rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan masalah mereka melalui saluran yang betul dan berpelembagaan.

Perdana menteri sepatutnya mempunyai iltizam politik untuk memastikan parlimen berfungsi dengan baik, bukan mewujudkan badan propaganda kerajaan untuk mengolah sokongan rakyat.

Dalam keadaan sekarang, ahli parlimen perlu mendesak kerajaan untuk menambah peruntukan parlimen dengan mengurangkan dana yang diterima oleh JPM, Jasa dan PeKT, yang secara prinsipnya tidak menghormati peranan institusi berparlimen yang kini ditekan oleh kerajaan PN.

Jika tindakan ini gagal dilaksanakan, maka ia akan menggugat fungsi demokrasi berparlimen dan kebebasan parlimen akan diperkecilkan oleh pihak eksekutif untuk masa hadapan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/550512

COMMENTS