Bekalan makanan sempena Tahun Baharu Cina mencukupi – Menteri Pertanian

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bahawa bekalan makanan terutama makanan laut mencukupi bagi perayaan Tahun Baharu Cina, awal bulan depan.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata berdasarkan apa yang ditaklimatkan kepada beliau, langkah awal sudah dilakukan kementerian terbabit bagi memastikan isu kekurangan bekalan tidak timbul terutama bekalan ikan.

“Saya telah diberikan taklimat bahawa bekalan mencukupi dan kita sudah halang daripada dieksport supaya ikan cukup untuk perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Johor Corporation (JCorp) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), di sini hari ini.

Mengenai kemungkinan berlakunya kenaikan harga barangan mentah semasa musim perayaan berkenaan, Salahuddin menyerahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk melakukan pemantauan.

Sementara itu, mengenai isu jelapang padi negara yang dikatakan terancam berikutan kos, ancaman penyakit serta keluasan tanah yang semakin mengecil, Salahuddin berkata ia perlu ditangani termasuk menguatkuasakan pewartaan tanah-tanah tanaman padi.

Beliau berkata kerajaan negeri disaran melakukan usaha bagi memastikan keluasan tanaman padi tidak terus mengecil berikutan disebabkan pembangunan perumahan atau industri.

“Dalam Mesyuarat Tanah Negara, saya sudah bawa agenda ini…pihak negeri juga (Kedah dan Perlis) perlu ambil perhatian dan saya sudah memberi cadangan disebabkan tanah di bawah hak negeri, kerajaan negeri mesti ada usaha mewartakan semua kawasan sawah ini supaya ia tidak mengecil bilangannya pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Salahuddin, ancaman penyakit hanyalah faktor sementara dan ia tidak memberi kebimbangan besar terhadap tanaman padi di kedua-dua negeri itu.

Mengenai MoU berkenaan, beliau berkata ia bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan berpotensi apabila JCorp akan bekerjasama dengan FAMA dan LPNM bagi memberi latihan, pendedahan serta bimbingan keusahawanan kepada peserta Kelas Rancangan Usahawan (KRU) membabitkan pelajar daripada 50 sekolah.

Menerusi KRU tersebut, JCorp menyasarkan melatih 1,500 bakal usahawan dengan nilai jualan terkumpul syarikat berjumlah RM220,000 tahun ini termasuk memberi bimbingan pengurusan kewangan, menangani kos, pemasaran serta stok.