Beberapa menteri PN ‘hilang’ waktu krisis Covid-19 – Maszlee

Beberapa menteri PN ‘hilang’ waktu krisis Covid-19 – Maszlee

Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik mempersoalkan “kehilangan” beberapa menteri ketika mereka amat diperlukan susulan krisis Covid-19.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dipetik Sinar Harian sebagai berkata, kerajaan sedia ada gagal menangani krisis yang timbul daripada pandemik itu.

Katanya, menteri yang ada bukan saja tidak cekap dalam tugas mereka, tetapi turut melanggar undang-undang.

“Di mana menteri kesihatan ketika kes Covid-19 mencecah lebih 800 kes sehari? Di mana menteri pendidikan ketika anak-anak tidak lagi boleh ke sekolah untuk belajar? Di mana menteri pengajian tinggi ketika anak siswa kita dalam kesusahan?

“Bagaimana pula dengan menteri yang melanggar undang-undang kuarantin, tetapi masih bebas berbanding rakyat biasa?” katanya merujuk Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengakui bulan lalu, beliau gagal menjalani kuarantin rumah sekembalinya dari lawatan di Turki.

Beliau berkata, “menteri yang ada hari ini bukan saja tidak berdepan rakyat dan membuat penjelasan, bahkan begitu takut dengan media sehingga menyebabkan rakyat terpinga-pinga ketidaktahuan”.

“Apakah ini yang rakyat mahukan,” soalnya.

‘Selesai krisis politik di Dewan Rakyat’

Maszlee yang merupakan antara ahli Parlimen dilaporkan menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baru, berkata perkara itu bukan soal penting.

“Yang penting dan membimbangkan bagi saya ialah negara kita sekarang bukan saja berada dalam krisis ekonomi dan krisis kesihatan, bahkan krisis kemanusiaan dan krisis kepimpinan di bawah kepimpinan kerajaan yang diragui kestabilannya, dan dianggotai oleh barisan Kabinet yang tidak efisien.”

Beliau berkata, rakyat menderita dan kehilangan pekerjaan serta menghadapi krisis ekonomi, khasnya selepas moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik berakhir bulan ini.

Katanya, satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut politik semasa yang menyebabkan negara tidak stabil ialah melalui Dewan Rakyat.

“Ini juga akan menjadi bukti kepada rakyat berapa majoriti sokongan yang perdana menteri miliki hari ini. Sekaligus ini juga mengikut lunas Perlembagaan dan memperkasa sistem demokrasi yang kita amalkan.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/18/maszlee-persoal-kehilangan-beberapa-menteri-ketika-krisis-covid-19/

COMMENTS