Bazar ramadan tidak dibenarkan beroperasi lagi di Selangor

Bazar ramadan tidak dibenarkan beroperasi lagi di Selangor

Semua sekolah di Selangor akan ditutup mulai esok sehingga selepas Aidilfitri.

Penutupan ini tidak terhad kepada enam daerah yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebaliknya keseluruhan daerah.

Jelas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, ini kerana sehingga kini masih berlaku risiko penularan Covid-19 di sekolah.

“Atas beberapa perkara kita selidik pada sesi pagi tadi kita telah cadangkan semua institusi pendidikan mula ditutup bermula 6 Mei 2021.

“Mulai esok semua sekolah kebangsaan kebangsaan, harian dan agama di Selangor ditutup sehingga selepas hari raya.

“Ini mengambil kira tempoh cuti yang lazim dimulakan Isnin bermakna ada dua hari sahaja penutupan yang bermula esok,” katanya ketika sidang media khas berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan di enam daerah yang diumum semalam.

Selain itu kata Amirudin, Bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi bermula 8 Mei 2021 (Sabtu) ini.

Larangan ini berkuat kuasa untuk enam daerah yang dikuat kuasakan PKP sahaja.

Bagaimanapun, Bazar Raya dan pasar malam di Selangor termasuklah daerah yang dikuatkuasakan PKP dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam dengan syarat yang ketat.

“Jumlah pengunjung pada satu masa adalah dihadkan mengikut saiz bangunan atau premis atau sistem nombor giliran akan dikuatkuasakan.

“Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun juga tidak dibenarkan masuk,”katanya lagi.

Amirudin dalam pada itu memberi amaran tindakan kompaun akan dikenakan secara serta merta kepada premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, beliau berkata dine-in tidak dibenarkan di semua restoran dan hotel di Selangor, termasuklah bufet Ramadan.

Restoran pula ujar Amirudin, dibenarkan beroperasi hanya untuk bungkus sahaja bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam, begitu juga kedai runcit dan stesen minyak.

”Buat masa ini saya lihat PKP ini masih membenarkan perniagaan dan aktiviti ekonomi jadi ekonomi terlalu terjejas, cuma mungkin kurang,” menurutnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pusat asuhan kanak-kanak masih dibenarkan beroperasi, mempertimbangkan kalangan ibu bapa yang perlu keluar bekerja setiap hari.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/05/05/sekolah-di-selangor-tutup-mulai-esok/