Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk memperluaskan program Bazar Peduli Rakyat (BPR) secara berperingkat di seluruh negara pada masa akan datang.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA Basri Jasmo berkata ketika ini program BPR dilaksanakan di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan dan kini dalam perancangan untuk dilaksanakan di Johor tidak lama lagi.
“Di Perak, program ini telah dilaksanakan di Lekir, Sitiawan dan akan datang kita akan laksanakan pula di kawasan Bagan Serai dan Parit Buntar.
“Program BPR ini diwujudkan bukanlah sebagai pesaing kepada pasar tani di sesuatu kawasan berkenaan tetapi alternatif tambahan kepada peladang atau peniaga kecil untuk menjual produk hasil keluaran mereka,” katanya kepada Bernama selepas Program Kibarkan Jalur Gemilang yang turut dihadiri Pengarah FAMA negeri, Anuar Mohamed di Pasar Tani Langkap di sini, lewat petang ini.
Basri berkata program itu yang diwujudkan dengan kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menawarkan potongan harga antara lima hingga 30 peratus yang diadakan hanya sekali sebulan di kawasan yang mempunyai ramai penduduk terutamanya di kawasan luar bandar.
BERNAMA