Bayi empat bulan antara sembilan ahli keluarga yang terkorban kereta jatuh sungai

Seorang bayi berusia empat bulan antara sembilan ahli keluarga yang terkorban dalam kejadian kemalangan di pangkalan feri Triso dekat Sebuyau pada petang Jumaat.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Kebombaan JPBM Sarawak, Henderi Ardimansyah, kesemua mangsa melibatkan satu keluarga yang terdiri daripada empat dewasa dan lima kanak-kanak.
“Mengikut perkembangan, mangsa adalah daripada keluarga yang sama, maksudnya yang ini, datangnya daripada sepupu dan sebahagian daripada keluarga yang besar.
“Pemandunya merupakan pemandu wanita yang berusia 33 tahun dan kebanyakan penumpang-penumpangnya seperti yang dilaporkan, lima orang lelaki itu, semuanya merupakan kanak-kanak. Mangsa paling muda difahamkan berusia empat bulan,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, jarak lokasi kejadian dengan balai bomba terdekat menjadi cabaran utama dalam usaha menyelamatkan kesemua mangsa terlibat.
“Jarak merupakan isu utama pasukan bomba untuk tiba ke tempat kejadian, balai bomba terdekat adalah Sibunjan iaitu sejauh 62 kilometer, manakala Balai Bomba Seratok, sejauh 98 kilometer.
“Tambahan pula, pasukan bomba terpaksa melalui laluan kampung, yang mana sedia maklum bahawa agak sempit, dan terhad laluannya,” tambah Henderi lagi.
Juga dilaporkan, kesemua mangsa kini telah dibawa ke Klinik Kesihatan Beladin bagi urusan pengecaman identiti dan pengesahan selanjutnya akan dibuat dari semasa ke semasa.

COMMENTS

Wordpress (0)