Bapa rogol anak 105 kali dipenjara

Bapa rogol anak 105 kali dipenjara

Seorang penganggur dihukum penjara 1,050 tahun dan 24 sebatan kerana merogol anak tirinya sebanyak 105 kali mulai 2018, ketika mangsa hanya berusia 12 tahun.

Tertuduh berusia 33 tahun itu mengaku bersalah, selepas 105 pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa Mahkamah Sesyen Klang.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah sumbang mahram dengan merogol anak tirinya sejak 2018 hingga tahun lalu di sebuah flat di Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan hukuman yang dijalankan secara berasingan, lelaki itu dipenjara 10 tahun untuk setiap 105 pertuduhan, menjadikan keseluruhan 1,050 tahun.

Tertuduh turut dikenakan dua sebatan bagi setiap pertuduhan itu, yang semuanya berjumlah 210 sebatan.

Bagaimanapun, hanya 24 sebatan boleh dikenakan seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 288 (5) Kanun Acara Jenayah.

Mengikut fakta kes, tertuduh berkahwin dengan ibu mangsa sejak November 2016 dan tinggal bersama dua anaknya, termasuk mangsa di pangsapuri berkenaan.

Tertuduh didakwa merogol mangsa sebanyak 105 kali sejak 5 Jan 2018 hingga 24 Feb 2020 di kediaman itu.

Hakim M Kunasundary menegaskan kesalahan tertuduh amat serius dan keji kerana menjejaskan masa depan mangsa.

“Saya harap kamu insaf dalam penjara. Kamu tidak sapatutnya melakukan sesuatu yang ganas, walaupun hukuman yang diberikan adalah hukuman minima, namun mahkamah merasakan memadai mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan terhadap kamu.”