Banyak kes bunuh diri waktu PKP 1.0, cuma tak hebah – Menteri

Banyak kes bunuh diri waktu PKP 1.0, cuma tak hebah – Menteri

Kerajaan mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh berjaya menurunkan dan melandaikan lengkung jangkitan tetapi ia akan memberi kesan besar kepada ekonomi dan kesihatan mental rakyat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP 1.0 memang dilihat berjaya namun banyak kes bunuh diri dan kesihatan mental berlaku tetapi tidak dihebohkan.

“Saya nak maklumkan sewaktu PKP 1.0 terdapat banyak kes membabitkan masalah mental termasuk bunuh diri, cuma kita tidak hebohkan perkara ini.

“Jadi inilah yang kita nak jaga rakyat supaya tidak menderita, walaupun kita nak selamatkan nyawa tetapi rakyat menderita,” katanya ketika sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Beliau mengakui melalui PKP menyeluruh, kes dapat diturunkan dengan cepat namun kaedah itu tidak berkesudahan.

“Memang kita dapat turunkan kes seperti PKP 1.0, kemudian kita turunkan kepada PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) sehingga PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

“Tetapi kalau kes meningkat semula menyebabkan kita akan tutup dan buat ‘lockdown’, turun kes kita buka semula, apabila naik kes akan tutup semula, buka tutup…buka tutup ini juga akan berterusan,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting perkara dilakukan kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Kawalan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan tetapi semua rakyat Malaysia.

“Yang penting amalkan kawalan kendiri dengan memastikan keluarga dan masyarakat terus selamat,” katanya.

Ismail Sabri turut menjelaskan, walaupun PKP menyeluruh tidak dilakukan di seluruh negara, namun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar di lokaliti tertentu.

“Kawasan itu dikelilingi kawat besi, penduduk tidak boleh keluar rumah, semua aktiviti perniagaan dan sebagainya tidak dibenarkan kecuali perniagaan keperluan harian.

“Walaupun susah nak beri pertimbangan seperti ini kerana cara paling mudah melalui ‘total lockdown’, semua duduk rumah dan tidak boleh keluar dan satu aktiviti pun tidak boleh dilakukan tetapi kesannya bagaimana rakyat kita yang miskin nak teruskan kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, pemakaian pelitup muka diwajibkan di tempat awam walaupun individu berkenaan memakai niqab atau pelindung muka.

“Di bawah Akta 342 diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam.

“Kalau pakai niqab dan ‘faceshield’, pelitup muka wajib dipakai di dalamnya,” katanya.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/708924/banyak-kes-bunuh-diri-pkp-10-cuma-tidak-dihebohkan