Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan pastikan bantuan kepada mangsa-mangsa ribut yang membadai negeri-negeri di utara Jumaat diselaras untuk mengelak pertindihan selain mempercepatkannya , kata Datuk Romli Ishak.
Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu berkata mesyuarat NADMA di Putrajaya semalam memutuskan supaya bantuan langsung disalurkan segera dan tidak boleh menunggu pengerusi NADMA Dr Wan Azizah pulang daripada menunaikan haji di Makkah.
“Saya mewakili pengerusi NADMA dalam mesyuarat itu. Kita putuskan untuk membuat tinjauan supaya bantuan langsung boleh disalurkan supaya mangsa yakin mereka dibantu oleh kerajaan,” katanya kepada Bernama selepas meninjau rumah mangsa bencana itu di sini, hari ini.
Dalam tinjauan itu Romli disertai para pegawai Unit Penyelerasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) Perlis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis (JKM).
Sebelum membuat tinjauan, beliau diberi taklimat mengenai bencana itu oleh pengarah APMM Perlis, Ishak Mohd Radzi di ibu pejabat agensi itu di sini.
Dalam kejadian malam hari Jumaat lepas, ribut kencang yang disertai hujan membadai beratus buah rumah, sekolah, premis perniagaan dan bangunan di negeri ini.
NADMA juga akan pastikan keperluan asas dan penempatan mangsa bencana diberi keutamaan, kata Romli sambil meminta pihak korporat bersama-sama kerajaan membantu mangsa-mangsa bencana itu yang turut melanda Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian Perak.
Mengenai ribut di Perlis, beliau berkata JKM dan APMM Perlis dijangka selesai membuat bancian dalam minggu ini yang dijangka mencecah 1,000 mangsa namun tidak melibatkan korban jiwa.
Berdasarkan laporan, sebanyak 530 mangsa bencana itu telahpun dibanci yang banyak melibatkan kerosakkan tidak serius manakala jumlah kerugian tidak banyak, kata Romli.
Beliau berkata selain wang ehsan yang diberi kepada setiap mangsa, NADMA akan menghulurkan bantuan segera bagi pembaikkan di bawah RM5,000 melalui APMM manakala amaun melebihi jumlah itu mengambil masa lebih sedikit.
“Dalam keadaan sekarang, saya berharap rakyat menyifatkan bencana ini sebagai ujian Allah SWT dan hendaklah bersabar. Kita akan bantu apa yang boleh secepat mungkin,” tambahnya.
BERNAMA