Bantuan Covid-19 tidak konsisten, sedikit – Pakar ekonomi

Bantuan yang diberikan kerajaan terlalu sedikit untuk membuat perubahan yang bermakna kepada penerima.

Pakar Ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, bantuan juga tidak konsisten selain diberikan kepada perkara yang sudah berlaku kepada rakyat.

“Pertama bantuan yang diberikan terlalu sedikit, kedua terlalu lewat.

Bantuan Covid-19 tidak konsisten, sedikit - Pakar ekonomi

Kata Dr Muhammed, fokus kemiskinan juga harus memfokuskan kepada bahagian desa dan bukan kota semata-mata. -Astro AWANI

“Contohnya Bantuan Khas Prihatin. Kalau orang yang miskin dapat RM1,300 (RM500 kelmarin, RM500 pada November dan RM300 pada Disember). Tetapi dia perlukan wang sekarang.

“Jadi untuk memastikan mereka yang tercicir dapat atau tidak, pertama, beri cukup dan secara konsisten. Ini lebih membantu, kalau beri sedikit dan lambat, ini tidak membantu. Jadi cacamarba.

“Jadi ekonomi tidak dapat dipulihkan dan keluarga juga tidak boleh. Jika persoalan tidak tahu mereka di mana, itu tidak betul kerana kerajaan telah mengemas kini program bantuan.

“Sekarang bantuan tunai begitu efisien sekali. Kerajaan periksa data diri, semua kerajaan tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Forum bertajuk “Urban Poverty: The Need of Economic Reform and Good Governance” anjuran Pemuda UMNO pada Rabu.

Selain Dr Muhammed, Pakar Ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram turut menjadi panel dalam forum berkenaan.

Dalam pada itu kata Dr Muhammed, fokus kemiskinan juga harus beri tumpuan kepada bahagian desa dan bukan kota semata-mata.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lebih banyak bantuan akan disalurkan kerajaan kepada rakyat bermula bulan depan.

Jelasnya, Bantuan Khas COVID-19 (BKC) adalah antara bantuan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas, serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah, berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

Golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang juga layak menerima BKC.

Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500).

Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200); manakala kategori M40, isi rumah menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).

Dalam pada itu, Dr Jomo menjelaskan, banyak perubahan yang perlu untuk memastikan rakyat tidak terus sengsara pada era pandemik.

Katanya, bantuan yang diberi juga bukan setakat mengisi perut tetapi memastikan makanan yang diambil mempunyai zat kepada rakyat.

“Itulah sebabnya kita harus memberi perhatian dan ia patut melibatkan Kementerian Wanita dan sebagainya, tetapi malangnya kita tidak dapat perhatian sewajarnya.

“Pendekatan yang ada sekarang seolah-olah semua ditumpukan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri. Sepatutnya melibatkan seluruh pemerintahan.

“Ini penting apabila melibatkan banyak kementerian di mana boleh dikatakan masalah penyelarasan antara kementerian menjadi satu masalah yang besar kalau dibandingkan dengan dulu.

“Jadi ini masalah yang harus diatasi,” jelasnya.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-bantuan-sedikit-tidak-konsisten-pakar-ekonomi-318489

BACA JUGA : Lagi kematian keseorangan diri ditemui