Bangunkan Sungai Pintar Melaka tangani isu banjir

Majlis Penasihat Bandar Pintar (SCAC) Melaka merancang membangunkan Sungai Melaka Pintar yang merupakan teknologi pemantauan ke atas kualiti dan paras air sungai sebagai satu inisiatif menangani isu banjir di negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata teknologi itu berupaya mengesan perubahan paras air sungai agar sebarang informasi perubahannya dapat diperoleh lebih awal dan disalurkan kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Alam sekitar dan Jabatan Pengaliran dan Saliran untuk tindakan awal.

Beliau berkata Sungai Melaka Pintar itu merupakan antara aspek pembangunan di bawah teras kedua dasar Bandar Pintar Melaka iaitu kelestarian alam sekitar dan penjanaan sumber tenaga boleh diperbaharui.

“SCAC amat prihatin terhadap kejadian banjir di sekitar bandar raya Melaka dan sebagaimana dimaklumkan sebentar tadi, pengurusan banjir turut dimasukkan dalam Pelan Tindakan Dasar Bandar Pintar Melaka.

“SCAC juga merancang pemilihan informasi tertentu yang boleh disalurkan kepada orang ramai melalui aplikasi komunikasi yang akan dibangunkan dan turut turun ke lokasi banjir bagi mendapatkan input untuk perancangan tindakan pelan yang perlu diambil,” katanya pada persidangan DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Adly (PH -Bukit Katil) berkata demikian ketika menjawab soalan Damien Yeo Shen Li (PH-Duyong) berkaitan usaha SCAC menangani kejadian banjir di negeri itu.

Mengulas lanjut, Adly berkata SCAC juga mencadangkan agar diwujudkan pusat simpanan air mentah di hiliran agar semua limpahan air banjir boleh disalurkan ke takungan yang disediakan.

Beliau berkata selain itu, inisiatif lain yang sedang diperhalusi ialah menjadikan takungan kumbahan Indah Water Konsortium Sdn Bhd yang ditutup sebagai pusat simpanan air sementara sebelum dilepas setelah paras air di empangan berkurang.

Katanya pusat tadahan air hujan turut dicadangkan bagi mengatasi isu banjir dan kekurangan bekalan air mentah di kawasan strategik di Melaka dan perkara ini sedang diperhalusi Badan Kawal Selia Air Melaka.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Wong Fort Pin (PH-Bemban) berkaitan langkah bagi mengatasi pencemaran Sungai Melaka yang menyebabkan air berwarna hitam, berbau busuk dan ikan mati, beliau berkata perkara itu akan di bawa ke peringkat Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT) untuk mencari jalan penyelesaian.

“Tidak menafikan kejadian ini dan ia merupakan kejadian berulang yang berlaku beberapa tahun sekali. Ia pernah berlaku pada 2015 dan tahun ini yang mana tempoh kejadian adalah pada Mei dan Jun iaitu pada musim kemarau,” katanya.

Justeru, katanya MELCAT akan menilai semua faktor yang boleh menyumbang berlakunya insiden tersebut antaranya kenaikan paras dan kualiti air Sungai Melaka.