Banglo RM15 juta milik keluarga Jho Low dipulangkan

Kerajaan gagal melucut hak sebuah banglo milik keluarga ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini menolak permohonan kerajaan untuk melucutkan hak banglo tiga tingkat bernilai RM15 juta di Taman Tanjung Bungah, Pulau Pinang, serta wang yang disimpan dalam tiga akaun bank Hong Leong.

Banglo RM15 juta milik keluarga Jho Low dipulangkan

Kerajaan sebelum ini menyita rumah keluarga ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho pada 2019.

“Pemohon (kerajaan) hanya menunjukkan wang yang dikreditkan ke dalam tiga akaun bank tetapi tidak memberikan sebarang bukti bagaimana akaun bank berkenaan berkait atau digunakan dalam aktiviti haram.

“Hubungan antara responden ke-13 (ibu kepada Low, Goh Gaik Ewe) dan watak serta entiti dalam 1MDB hilang dengan ketara.

“Saya juga ingin menambah bahawa terdapat banyak percanggahan ketara dalam afidavit pegawai penyiasat yang tidak pernah diperbetulkan atau dijelaskan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menyita rumah keluarga Low pada 2019. Hartanah itu dilaporkan didaftarkan bawah nama Goh.

Ia kemudian memfailkan permohonan pelucuthakan yang bertujuan untuk menyita banglo terbabit.

Goh dan suami beliau, Larry Low Hock Peng, dinamakan oleh Bukit Aman sebagai individu yang disyaki berhubung siasatan 1MDB.

Selain Goh, 17 lagi pihak dalam permohonan kerajaan itu adalah Najib Razak, Rosmah Mansor, Riza Aziz, Nor Ashman Najib, Nooryana Najwa Najib, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Roger Ng, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

Mengenai permohonan kerajaan untuk melucut hak wang sebanyak RM1.88 juta yang disimpan dalam tujuh akaun bank milik bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng dan isterinya Lim, Zaini berkata, pihak pendakwaan tidak memberikan bukti bahawa wang itu dikaitkan dengan sebarang transaksi haram.

“Saya cenderung untuk bersetuju dengan peguam mereka dan oleh itu menolak permohonan ini,” katanya.

Zaini membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak barang yang disita daripada Kyizzad, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara, Kee, Tan dan Geh kerana mereka tidak pernah memberi maklum balas.

BACA JUGA :

COMMENTS

Wordpress (2)
  • comment-avatar

    […] BACA JUGA : Banglo RM15 juta milik keluarga Jho Low dipulangkan […]

  • comment-avatar

    […] BACA JUGA : Banglo RM15 juta milik keluarga Jho Low dipulangkan […]