Bangkit Malaysia, Palestin dikhianati – Mujahid

Bangkit Malaysia, Palestin dikhianati – Mujahid

Syawal al Quds disambut dengan keganasan regim Israel. Ketika umat Islam mengakhiri malam Ramadan dan bersiap untuk sambutan hari raya, para musollin di Masjid al Aqsa diceroboh, dikepung dan diserang. Ia menyakiti umat Islam seluruh dunia! Harga dasar normalisasi negara-negara Arab dikhianati oleh Israel buat sekian kalinya!

Sebelumnya, kawasan di Timur Jeruselem Syeikh al Jarrah baru sahaja diceroboh dengan pengusiran penduduk Arab atas nama penempatan orang Yahudi di sana. Kemarahan orang Palestine terhadap perancangan pengusiran sistemetik regim Zionis ini sudah berjalan sekian lama. Projek penempatan haram yahudi melalui perampasan tanah milik orang Palestine adalah sebenarnya penjajahan baru Israel.

Perjanjian demi perjanjian dengan masyarakat antarabangsa dikhianati bermula dari resolusi PBB 181 (11) 1947 yang membawa kepada Peperangan Arab Israel 1947-1949 dikenali sebagai Nakbah. Orang Palestine menjadi pelarian di bumi sendiri. Perang Enam Hari Arab-Israel 1967 menyaksikan kekalahan memalukan negara Arab apabila beberapa kawasan dari Sinai, Tebing Barat, Timur Jeruselem dan Bukit Golan dikuasai Israel.

Peperangan Oktober 1973 telah membuka ruang kepada dasar normalisasi hubungan Mesir-Israel melalui Perjanjian Camp David pada tahun 1979. Tahun 1979 Mesir diboikot dunia Arab kerana bersetuju berdamai dengan Israel sebagai balasan Sinai dipulangkan kepada Mesir. Bermulalah dasar normalisasi atas nama perjanjian damai.

Dasar normalisasi hubungan dengan Israel pasca Camp David bermula dengan perjanjian damai dengan Lebanon 1983, 1994 Perjanjian dengan Jordan, UAE ,Bahrain Sudan, Morocco dan Saudi tahun 2020. Satu demi satu negara Arab yang dahulunya lantang kini sudah mula tinggalkan tangisan Palestine. Mereka sudah tidak mendengarnya lagi atas nama ‘deal of the century’ dengan Amerika Syarikat.

Bagi pihak Palestine ‘proses damai’ melalui pembahagian 1947 menjadi asas tuntutan oleh PLO. Persidangan Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo I dan II 1993, 1995 adalah antara mercu tanda kegagalan dan kekecewaan umat Palestine terhadap inisiatif damai. HAMAS muncul pada tahun 1987 dengan menguasai Gaza dan telah mengembangkan kuasa politik, kebajikan dan ketenteraanya. HAMAS menjadi alternatif membela penderitaan rakyat Palestine yang telah kecewa dengan perjanjian demi perjanjian yang gagal.

Tidak keterlaluan jika kita menyatakan Palestine dikhianati oleh pemimpin negara Arab sendiri melalui dasar normalisasi hubungan dengan Israel. Manakala di peringkat rakyat jelata, umat Islam khususnya dan masyarakat antarabangsa umumnya, mereka tidak pernah lupakan penderitaan Palestine. Malah negara Barat sendiri sudah mula bersuara tentang keganasan regim teroris Israel. Persepsi awam di dunia Arab dan Islam dengan pencerobohan terkini Israel ke atas al Aqsa menekan dasar normalisasi yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Malaysia tidak boleh berdiam diri, ia harus lebih lantang mengutuk sekerasnya dasar Israel. Ini adalah kerana Israel mengamalkan dasar apartheid/penghapusan etnik, dasar pengepungan ke atas Gaza,Tebing Barat dan Timur al Quds, dasar menafikan infra asas seperti air dan elektrik serta menimbulkan krisis kemanusiaan yang menafikan perjanjian antarabangsa. Parlimen Malaysia 2010, pernah mengutuk serangan ke atas Gaza secara konsensus. Malangnya Parlimen hari ini digantung, sewajarnya satu sidang khusus dibuat untuk menyampaikan sikap rakyat Malaysia mengutuk serangan terkini Israel.

Semasa PH menjadi kerajaan, Malaysia cuba memimpin usaha mengukuhkan solidariti negara Islam terhadap Palestine bersama Turki Pakistan dan Qatar yang diketuai oleh Tun M. Apakah kerajaan PN terlalu lemah hari ini sehingga sikap dan suara rakyat Malaysia gagal disampaikan dengan tegas?

Kini tiba masanya semua pihak bersolidariti dengan penderitaan rakyat Palestine dengan menegaskan ‘Tidak kepada Normalisasi dengan Israel’ ‘Tiada Hubungan Ekonomi’ dan kita perlu secara resmi menamakan Israel sebagai Negara Teroris yang membantai hak asasi manusia ke atas Palestine. Mana-mana pihak yang ada kepentingan dengan Israel perlu diboikot sama sekali. Isu keganasan negara Zionist Israel tidak boleh dilihat secara bermusim, kita perlu memahaminya dari sudut sejarah, politik dan semangat kemanusiaan demi membela mangsa satu penindasan.

Kemuncak semangat kita sebagai umat Islam pula terletak di Masjid al Aqsa yang merupakan nadi kebangkitan umat bagi memelihara kemuliaannya atas nama Qiblat pertama, masjid suci ketiga dan tempat Israk Nabi sebelum Mikrajnya ke langit.

Yb DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH negara
Ahli Parlimen Parit Buntar

15 May 2021