Bacaan gas empat hari sehingga semalam normal – JAS

Bacaan pengesanan gas di 14 buah sekolah sekitar Pasir Gudang bermula 18 Julai hingga semalam mendapati bacaan gas di tahap normal, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut JAS, pengesanan gas bagi empat parameter iaitu Acrolein, Acrylonitrile, Methyl Mercaptan dan Benzene itu adalah sebagai program pemantauan kualiti udara berterusan oleh pihaknya.

Dalam satu kenyataan di sini, malam ini, jabatan itu berkata cerapan bacaan pada keempat-empat hari itu menunjukkan bacaan gas yang normal pada waktu siang dan malam.

“Bacaan di sekitar Pasir Gudang juga menunjukkan julat yang sama di lokasi cerapan yang berada lebih kurang 19 kilometer di luar kawasan Pasir Gudang,” kata JAS.

Dalam menangani insiden gejala sesak nafas dan muntah di kalangan pelajar yang berlaku sejak 20 Jun lalu, pihaknya telah memantau bacaan gas di 138 lokasi termasuk di sekolah, tempat awam dan kawasan industri; serta mencerap sebanyak 3,275 bacaan dengan menggunakan peralatan Gasmet.

Usaha ini turut disokong dengan penggunaan alat pengukuran gas yang dibekalkan kepada 111 sekolah di seluruh Pasir Gudang bermula dari 1 Julai hingga 14 Julai.

Selain itu, JAS juga melakukan operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap 257 kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang bermula 20 Jun hingga 17 Julai.

“Dari aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak tiga syor tindakan mahkamah diambil, 12 perintah tahan operasi peralatan dikeluarkan, 60 notis arahan dikeluarkan dan 146 kompaun bernilai RM292,000 dikenakan,” kata jabatan itu.

Insiden sesak nafas dan muntah-muntah sejak 20 Julan lepas, berlarutan sehingga semalam apabila terdapat sembilan kes baharu dikesan pihak berkuasa.

Kes terbaru itu membabitkan lapan murid dan seorang guru dari empat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort (3 murid), SK Kopok (2 murid), SK Taman Rinting 3 (2 murid dan guru) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2 (1 pelajar).

Bagaimanapun, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini, kesemua mereka hanya menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

BERNAMA