Azmin buat keputusan seolah-olah tak ambil kira penat lelah KKM

Azmin buat keputusan seolah-olah tak ambil kira penat lelah KKM

Negara kita sekarang ada mutasi virus Covid-19 yang mampu berjangkit secara agresif. Bukan 1 tapi 30 mutasi!

Salah satunya adalah pada Kes-26 yang setakat ini telah menjangkiti 120 yang lain. Kes 26 telah dikenal pasti sebagai Hisham Hamdan. Dia Pengerusi UDA Holdings dan Pengarah Eksekutif Khazanah.

30 mutasi yang agresif itu adalah yang dapat dikesan. Yang belum dapat dikesan? Tambah Malaysia masih belum banyak buat saringan berskala besar. Bila kurang buat ujian saringan berbanding puluhan juta rakyat yang ada, kuranglah dapat jejak mereka yang tidak sedar sudah jadi pembawa.

Tapi ketika KKM bertungkus-lumus mencari, mengasingkan, menguji dan merawat semua kes serta mengesan kontak pesakit, MITI sudah buat keputusan yang menakutkan.

Ketika Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) untuk kawasan Zon Hijau diberi sedikit kelonggaran, MITI sudah buat keputusan langkah bendul.

Azmin sudah kasi lepas syarikat yang sebelum ini dibenarkan beroperasi semasa PKP untuk beroperasi sepenuhnya dengan tenaga kerja maksimum. Betul syarikat tertakluk kepada kewajipan mematuhi syarat SOP tetapi itu atas kertas, guna air liur. Realiti di kilang ketika beroperasi nanti bagaimana? Siapa pernah kerja kilang tahu lah bagaimana ‘penjarakan sosial’ ketika bekerja.

Menteri Kesihatan Adham Baba tak bagi air suam ke kepada Azmin supaya jangan terburu-buru lagi?

Apa akibat daripada kebenaran terbaharu MITI ini? Seramai 1.5 juta orang di seluruh negara akan berada di luar rumah sekali gus ‘menggembirakan’ Covid-19!

Boleh beroperasi penuh tanpa sekatan masa amat menakutkan bagi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu akan datang tambahan pusat pertumbuhan ekonomi dan tumpuan operasi syarikat itu bukannya Zon Hijau iaitu tiada kes.

Kuala Lumpur dan Selangor satu zon hijau pun tiada! Tiga kawasan di KL iaitu Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa masih zon merah (41 kes dan ke atas).

Di Selangor, virus Covid-19 masih meriah bergentayangan di Petaling dan Hulu Langat. Sama juga di Seremban, Melaka Tengah, Johor Bahru dan Kluang semua zon merah.

Kawasan-kawasan itu semua banyak kilang dan padat penduduk. Bayangkan penularan yang berlaku akibat keputusan MITI ini. Tak ke mengundang negara jadi Itali kedua?!

Dah di luar kawalan dengan petugas kesihatan pun semakin putus asa, waktu itu menangis air mata darah pun tak guna. Jangan disangka lengkungan kes Covid-19 yang rata tidak kembali mencanak. MITI janganlah gopoh benar.

Semakin banyak pergerakan luar kawal, semakin tinggi risiko jangkitan. Tapi MITI sudah mendahului KKM sedangkan Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham sudah sebutkan kelmarin, tiga fasa PKP membantu meratakan lengkungan kes positif dan meletakkan negara dalam fasa pemulihan.

Azmin tak faham ke negara masih dalam fasa sedang pulih belum betul-betul sudah pulih?

Virus Covid-19 pun sudah diklasifikasikan sebagai sangat patogenik. Sangat. Amat menakutkan.

Azmin dan MITI yang mungkin tidak tahu apa makna patogenik itu patut tanya dulu KKM. Biar rambut gaya longkang tapi jangan buat keputusan ibarat tolak rakyat masuk longkang. Sangat patogenik ini maksudnya boleh menyebabkan kesan teruk.

Komplikasi Covid-19 bukan hanya demam selesema biasa. Mutasi pada koronavirus baru yang menakutkan ini menggagalkan fungsi paru-paru selepas mereka menyasarkan sel paru-paru sebagai tempat membiak.

Bahkan, seorang lelaki di Amerika Syarikat
berusia 41 tahun terpaksa dipotong kaki kanannya akibat darah beku selepas 3 minggu dirawat kerana positif Covid-19.

Di seluruh dunia sekarang pun sudah lebih 3.2 juta orang sah dijangkiti Covid-19 dengan lebih 220,000 mati akibat virus berasal dari China itu hanya selepas 4 bulan virus itu muncul di Wuhan.

Usaha KKM sampaikan petugas perubatan tidur terduduk bersarung PPE yang panas untuk memutuskan rantaian jangkitan seolah-olah sedang disabotaj.

Mengapalah Azmin tak fikir panjang, ambil kira nasihat KKM. Alasan Azmin, mahu pulihkan ekonomi. Amat berbau nafsu kapitalis.

Tak belajar ambil iktibar daripada apa berlaku di Singapura yang sekarang bergelut dengan gelombang kedua apabila kes membabitkan pekerja asing meningkat mendadak?

Itu nasib lagi pekerja asing di Singapura ditempatkan di asrama. Malaysia pula pekerja asingnya lepas bebas tinggal dalam kawasan yang dihuni warga tempatan.

Bayangkan, risiko tinggi penularan jangkitan Covid-19 akibat keputusan MITI dengan 1.5 juta orang malah mungkin lebih termasuk mereka yang menyelit ambil peluang untuk keluar rumah.

WHO sudah pun beri amaran serangan Covid-19 masih jauh lagi untuk berakhir. Masih jauh selagi vaksin belum ditemui. Apa lagi sekarang, sudah ada 30 mutasi virus di negara kita.

Trend berjangkit Covid-19 jelas lebih dahsyat daripada SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) yang muncul tahun 2002 dan MERS-CoV (Sindrom Pernafasan Timur Tengah) pada 2012.

Dalam tempoh 2 bulan saja, kes positif dan kematian Covid-19 sudah melepasi rekod SARS!

Semua Kementerian patut ikut nasihat KKM dalam isu Covid-19 ini. Kementerian lain janganlah mendahului KKM dan MKN.

Renungkan dan Fikirkan bersama