Azeez Rahim didakwa esok

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  hari ini menahan Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim untuk dihadapkan ke mahkamah berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram, esok.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata suruhanjaya itu telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

SPRM berkata Abdul Azeez dan abangnya ditahan pada pukul 4.30 petang ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini.

Mereka tiba secara berasingan di ibu pejabat SPRM itu, dengan Abdul Azeez dilihat tiba pada kira-kira 2.55 petang dengan menaiki kereta Proton Perdana berwarna merah.

SPRM berkata mereka akan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok  mengikut  Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.