Audit : Sejak tiga tahun lepas DBKL lulus 500 lesen penjaja guna IC orang mati

Audit : Sejak tiga tahun lepas DBKL lulus 500 lesen penjaja guna IC orang mati

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikesan meluluskan pembaharuan dan permohonan lebih 500 lesen penjaja yang menggunakan kad pengenalan individu sudah meninggal dunia sejak tiga tahun lalu.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1, semakan dalam sistem eLesen DBKL dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati, tujuh permohonan baharu dan 568 pembaharuan lesen penjaja menggunakan kad pengenalan individu sudah meninggal dunia, diluluskan antara 2017 hingga 2019.

Selain itu, DBKL juga dikesan meluluskan tiga permohonan baharu dan 180 pembaharuan lesen penjaja, walaupun nombor kad pengenalan yang digunakan untuk membuat permohonan itu tidak dapat dikenal pasti kesahihan kerana tiada rekod di JPN.

Sepanjang tahun lalu, laporan audit mengesan 219 daripada 27,274 lesen penjaja aktif DBKL menggunakan kad pengenalan individu yang sudah meninggal dunia, untuk memperbaharui lesen penjaja.

“Semakan audit selanjutnya mendapati penjaja itu (kad pengenalan yang digunakan) sudah meninggal dunia antara satu hingga 10 tahun,” jelas laporan audit itu yang dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, laporan audit mendapati isu itu berlaku kerana DBKL tidak mewajibkan pelesen hadir sendiri dan mengemukakan kad pengenalan asal bagi permohonan dan pembaharuan lesen penjaja.

Selain itu, ia juga berlaku kerana Sistem eLesen DBKL tidak berintegrasi dengan sistem JPN untuk proses pengesahan dan semakan kad pengenalan pemohon.

“Prosedur kawalan dalaman yang lemah dalam memproses permohonan dan pembaharuan lesen mendedahkan kepada risiko berlakunya lesen dikeluarkan secara tidak sah kepada individu menjalankan aktiviti penjajaan.

“Keadaan ini berlaku secara berterusan menunjukkan DBKL gagal mengkaji semula keutuhan kawalan dalaman proses berkaitan.

“Kelemahan ini menjejas kredibiliti proses berkenaan dan juga integriti pangkalan data serta mendedahkan kepada risiko fraud (penipuan),” jelas laporan audit itu.

Dalam maklum balas kepada Ketua Audit Negara, DBKL memaklumkan sudah mengambil tindakan membatalkan 164 pelesen selepas mendapat teguran Jabatan Audit Negara, manakala pelesen selebihnya dalam proses untuk dibatalkan.

“Berkuat kuasa Februari lalu, pelesen diwajibkan hadir untuk urusan pembaharuan lesen di Kaunter Lesen Berpusat DBKL, dan mulai Julai lalu, DBKL menggunakan alat pembaca MyKad untuk pengesahan kad pengenalan pelesen,” jelas DBKL.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/763665/dbkl-lulus-lebih-500-lesen-penjaja-guna-kad-pengenalan-orang-mati