ATM tarik balik arahan hukum anggota tentera yang pasangan tolak vaksin

Angkatan Tentera (ATM) telah membatalkan keputusan sebelum ini untuk mengenakan tindakan terhadap anggota yang mana pasangannya enggan diberi vaksin Covid-19.

Menurut dokumen mengenai keputusan yang dibuat akhir bulan lalu dan dilihat oleh FMT itu, tindakan tatatertib tidak perlu dikenakan kepada warga tentera darat yang pasangannya menolak vaksin, namun perlu menjalani kaunseling oleh pihak berkuasa tentera.

“Pemerintah di semua peringkat lapisan pemerintahan dikehendaki mengadakan sesi temu duga dan kaunseling kepada warga tentera darat dan pasangan yang terlibat.

ATM tarik balik arahan hukum anggota tentera yang pasangan tolak vaksin

Pada Mac, Angkatan Tentera (ATM) mengeluarkan arahan kepada anggota tentera secara peribadi bahawa mereka boleh dikenakan tindakan sekiranya pasangan mereka menolak vaksin. (Gambar Bernama)

“Penerangan dan galakan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 perlu ditekankan demi kepentingan individu, komuniti serta organisasi tentera darat,” menurut dokumen itu.

Tidak diketahui sama ada keputusan itu juga melibatkan tentera laut dan tentera udara tetapi seorang pegawai yang mengetahui isu tersebut berkata, keputusan sedemikian biasanya dibuat oleh kepimpinan tertinggi angkatan tentera dan melibatkan semua sayap. “Ia sepatutnya terpakai untuk semua.”

FMT telah menghubungi pihak berkuasa tentera tetapi ia enggan memberikan komen. Difahamkan, ketua tentera akan bertemu dengan pegawai media terpilih Isnin depan untuk menjelaskan beberapa isu yang berkaitan dengan vaksinasi anggota tentera.

Satu sumber tentera yang berpangkat tinggi berkata, perintah vaksinasi wajib yang dibuat untuk semua anggota tentera di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 masih kekal.

Isu terbabit kini mendapat perhatian selepas seorang anggota tentera berpangkat sarjan, Wan Ramly Wan Seman diberhentikan perkhidmatan kerana enggan menerima vaksin Covid-19.

Wan Ramly yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan diberhentikan selepas hampir 20 tahun berkhidmat dan bakal kehilangan pencen yang layak diperolehnya dalam tempoh 16 bulan lagi.

Pada 25 Ogos lalu, ATM berkata, pihaknya sedia menerima semula anggota yang dipecat kerana enggan menerima vaksin jika dia menarik balik keputusannya dan sedia divaksin.

Panglima Tentera Darat, Zamrose Mohd Zain sebelum ini turut berkata, penamatan perkhidmatan anggota tentera itu dibuat selepas beberapa kali sesi kaunseling gagal mengubah pendiriannya untuk mengambil vaksin Covid-19.

Katanya, tindakan buang kerja itu tidak dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya dibuat mengikut peraturan demi menjamin keselamatan semua pihak.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan sebelum ini berkata, pengambilan vaksin adalah wajib bagi anggota tentera terutama sebelum melaksanakan penugasan kecuali kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan tidak layak menerima vaksin.

Katanya, anggota yang ingkar atau enggan menerima vaksin, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/06/atm-tarik-balik-arahan-hukum-pasangan-anggota-enggan-terima-vaksin/

BACA JUGA : Akar umbi Umno keliru pendirian ‘No Anwar, No DAP’ – Azalina