ASMDKL saman balas Econpile, tuntut RM346 juta

Syarikat pemaju hartanah, ASM Development (KL) Sdn Bhd (ASMDKL),  menfailkan saman balas terhadap syarikat kontraktor pembinaan, Econpile Sdn Bhd atas dakwaan gagal melaksanakan kerja projek pembinaan apartment mewah Maju Kuala Lumpur (Maju KL).

ASMDKL yang juga anak syarikat Maju Holdings memfailkan saman balas itu menerusi firma guaman Edwin Lim & Suren pada 28 November 2019 di Mahkamah Tinggi di sini, antara lain bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM346 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif ASMDKL, Mohd Farid Nawawi dalam kenyataan media hari ini, berkata syarikat itu selaku plaintif mengemukakan 13 senarai tuntutan balas bagi menuntut ganti rugi kerana Econpile gagal melaksanakan kerja mengikut tarikh yang ditetapkan.

Menurut Mohd Farid, syarikat turut menyenaraikan kos operasi yang terpaksa ditanggung berikutan kelewatan dan penyambungan kerja yang ditinggalkan Econpile sejak 1 Mac 2019.

Ia berikutan ASMDKL terpaksa melantik kontraktor baharu bagi meneruskan kerja-kerja tersebut selepas Econpile gagal melaksanakan kerja yang termaktub dalam kontrak dipersetujui selain disahkan menerusi Perakuan Kerja Tidak Siap (CNC) oleh arkitek kepada syarikat kontraktor itu pada 7 April 2018.

Kata Mohd Farid,  ASMDKL turut menuntut pembayaran membabitkan 110 unit rumah bernilai hampir RM67 juta daripada syarikat Platinum Rhythm Sdn Bhd, iaitu milik pengarah dan pemegang saham Econpile melalui perjanjian pembelian blok pada 25 Ogos 2017.

Beliau berkata syarikat memfailkan tuntutan balas itu selepas Econpile yang dilantik bagi melaksanakan pembinaan cerucuk dan struktur asas projek bernilai RM280 juta bertindak menghentikan kerja pada awal Mac tahun ini.

“Saman balas turut menyenaraikan tuntutan kerosakan kerja awal sebanyak RM33.8 juta  yang ditinggalkan Econpile membabitkan pembinaan asas bagi projek pembinaan membangunkan tujuh blok menara apartment mewah Maju KL,” katanya.

Mohd Farid berkata kegagalan Econpile  melengkapkan kerja memberi impak kepada ASMDKL sekaligus  mengakibatkan penangguhan kerja penyiapan dan proses penyerahan 1,403 unit rumah yang sudah dijual kepada pembeli di bawah perjanjian jual beli dengan kos tuntutan mencecah RM98 juta.

Media sebelum ini melaporkan, Econpile mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut kira-kira RM67 juta daripada ASMDKL sebagai `tuntutan bayaran kemajuan’ pelaksanaan kerja.