“Apakah kamu ini pegawai kerajaan kelas tiga?”, soal Anwar kepada speaker Dewan Rakyat

“Apakah kamu ini pegawai kerajaan kelas tiga?”, soal Anwar kepada speaker Dewan Rakyat

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, berkata Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun wajar menyatakan pendirian dengan jelas mengenai sidang parlimen yang ditangguhkan kini.

Katanya Azhar wajar memberikan pandangan sama ada sidang tersebut wajar diadakan atau tidak.

Malah presiden PKR itu berkata Azhar tidak patut berselindung jika sebenarnya terdapat arahan daripada kerajaan berhubung penangguhan itu.

“Speaker patut buat kenyataan yang jelas kalau beliau bertindak sebagai seorang speaker dengan wibawa dan bebas. Jangan berselindung jika ada arahan kerajaan.

“Apakah kamu ini pegawai kerajaan kelas tiga?

“Kamu ini speaker Dewan Rakyat. Patutnya kata: ‘Ini pendapat saya, harus adakan sidang untuk bahaskan isu-isu’,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Kompleks Belia dan Sukan Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas kenyataan Azhar semalam bahawa sidang parlimen adalah urusan pihak kerajaan dan pihaknya bersedia sekiranya kerajaan mahu ia diadakan.

Terdahulu, Azhar dilapor berkata keputusan untuk mengadakan sidang itu bukan terletak pada kuasa speaker.

Minggu lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said dalam kenyataan menggariskan tujuh tatacara yang boleh dilaksanakan oleh Parlimen untuk menjalan persidangan semasa darurat.

Katanya, sidang parlimen adalah perkara utama untuk meningkatkan keyakinan rakyat di tengah pandemik yang semakin menular.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hujung Februari bertitah parlimen boleh bersidang semasa perintah darurat masih berjalan

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/576914