APA YANG TERSANGKUT?

Dr MAZA kata negara perlu diselamatkan kerana pentadbiran negara ‘tersangkut’ dan identiti negara ‘sedang dicarik-carik’.

Beliau berhak mengkritik kerajaan. Itu pandangan beliau dalam urusan politik dan pandangan beliau tidak semestinya salah dan tidak juga semestinya betul. Semua orang ada pandangan sendiri dalam urusan politik.

Tetapi beliau harus akui bahawa kerajaan hari ini adalah tertegak dengan mandat rakyat. Berpaling dari mandat rakyat adalah satu pengkhianatan. Malah, mencadangkan agar mandat rakyat dirobek atas alasan ‘superficial’ yang beliau nyatakan juga adalah satu pengkhianatan. Saya percaya beliau tidak punyai dalil kukuh untuk menyokong pengkhianatan ini.

Apa yang tersangkut? Rakyat hidup seperti biasa. Indeks keamanan negara meningkat. Kewangan negara dalam proses pemulihan dari malapetaka besar. Tabung Haji dan Felda telah berjaya dipulihkan. Universiti awam negara mendapat penarafan yang lebih baik di peringkat antarabangsa. Peruntukan untuk pentadbiran agama meningkat. Kutipan zakat juga meningkat. Bantuan kepada B40 ditambah. Kuota haji juga ditambah. Gaji guru KAFA meningkat. Guru agama sandaran diserap ke jawatan tetap. Wang royalti disalur kepada negeri pembangkang. Rakyat ada kebebasan bersuara. Kakitangan awam tidak lagi dipaksa menjadi hamba politik seperti sebelumnya.

Apa yang tersangkut? Saya tak tahu lah kalau Dr Maza ada memohon jawatan tertentu lalu tidak mendapat perkenan, maka itu yang dikatakan ‘tersangkut’. Saya harap tidak.

Apa pula identiti yang ‘sedang dicarik-carik’? Adakah ianya sekadar persepsi yang dijaja untuk kepentingan politik kelompok tertentu. Identiti negara ditetapkan oleh Perlembagaan. Sila tunjuk peruntukan perlembagaan mana yang diingkari oleh kerajaan hari ini. Saya tidak minta dua atau tiga, saya cuma minta satu sahaja. Tolong tunjukkan!

Kalau semua orang mahu membuat tafsiran sendiri tentang identiti negara maka negara ini akan hancur.

Dr Maza mungkin punya pandangan politik sendiri dan beliau berhak sepenuhnya untuk menyanggah apa juga polisi kerajaan. Seperti beliau, saya juga punya pandangan politik dan sepenuhnya berhak untuk menyanggah pandangan beliau.

Pun begitu, menyaran agar berlakunya pertukaran kerajaan hanya berasaskan alasan ‘superficial’ dan diluar dari mandat rakyat adalah saranan yang keterlaluan, di luar dari batas demokrasi dan kewajaran berpolitik.

Jamzuri ardani