Apa sebenarnya ‘Amman Message’ ?

Artikel ini bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada orang ramai sebelum termakan apa-apa segala jenis fitnah di dalam penggunaan risalah ini dan juga untuk menyangkal pernyataan sesetengah pihak yang gelojoh dalam penyampaian yang cuba memalitkan fitnah ke atas saya dan pihak yang sewaktu dengannya.

Artikel ini adalah atas permintaan ramai. Maka jadinya artikel ni pun sedikit panjang, kalau kau rajin baca, kau beruntung. Kalau kau malas, kau masih beruntung. Beruntung dalam kerugian.

1. TUJUAN AMMAN MESSAGE / RISALAH AMMAN

Seperti yang diketahui umum, berlaku pelbagai pergolakan di Timur Tengah sejak campur tangan kuasa barat (baca : Block Barat) seperti Amerika / NATO, ISRAEL dan sekutu yang lain. Dan tidak lain tidak bukan, antara tujuan sebenar mereka adalah untuk menguasai dan menggagaskan pemetaan baru dunia yang melibatkan negara-negara timur Timur Tengah yang kaya dengan hasil bumi (telaga gas & minyak) justeru itu membangkitkan “The Greater Israel”.

Untuk memulakan kebakaran, api dan minyak diperlukan. Dan untuk memulakan huru- hara, satu jenis sentimen dalam bentuk traumatik diperlukan yakni antaranya ISLAMOPHOBIA & SENTIMEN SUNNI & SYIAH.

Pada tahun 2001, dunia dikejutkan dengan keruntuhan WTC kononnya yang diakibatkan oleh serangan pengganas Islam. Media bermain rapat, keluar segala berita yang mengatakan Afghanistan bertanggungjawab atas serangan tersebut dan menjadi kubu dan sarang pengganas kerana melindungi Osama Bin Laden yang menjadi “mastermind” dalam serangan tersebut. Apakah kesannya? Dunia pun dilanda penyakit ISLAMOPHOBIA . Walaupun terma Islamophobia telah diguna-pakai awalnya sekitar tahun 1970, tapi impak mendalam lebih memberi kesan selepas kejadian WTC dan ayat “Muslim is a Terrorist” pun berlegar-legar di negara-negara barat. Lihat bagaimana ISLAM di pandang ketika itu. Bagaimana perpecahan berlaku apabila orang islam sendiri membantai saudara islam yang lain akibat kesan dari Islamophobia.

Dan begitu jugalah dengan Sentimen SUNNI-SYIAH yang dijadikan bahan mudah terbakar untuk menyalakan api permusuhan dikalangan rakyat di negara² timur tengah. Apatah lagi selepas kehebatan revolusi berlaku di Iran yang menjatuhkan boneka Amerika pada tahun 1979 lagi membuatkan block barat ini makin berasa jengkel. Yang bab ni malas bahas, tapi korang boleh rujuk link ni sebagai rujukan :

1. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=289422241829662&id=100022856644493

2. https://www.facebook.com/zukiee.ismail.1/videos/330636261041593/

Oleh yang demikian, setelah meneliti punca sebenar kerosakan halus ini (Sentimen Sunni-Syiah) yang mana salah satu hasilnya memberikan kesan yang sangat teruk bermula dari isu perang di Iraq pada tahun 2003 dan fitnah pukul rata yang mengatakan kesemua syiah itu adalah SESAT dan BUKAN ISLAM, maka satu pendekatan bijak dilakukan. Diantaranya ialah majlis PERSIDANGAN RISALAH AMMAN.

2. APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN RISALAH AMMAN / AMMAN MESSAGE?

Risalah Amman adalah satu deklarasi yang telah dikeluarkan pada 27 Ramadhan 1425H bersamaan dengan 9 November tahun 2004 oleh HM (His Majesty) Raja Abdullah II bin Al-Hussein di Amman, Jordan. Risalah Amman merupakan satu usaha dalam pencarian dan penetapan kesaksamaan tentang terma mazhab dan aliran “Islam” dan mana yang bukan “Islam”, kelompok mana yang mewakili “Islam” dan mana yang tidak mewakili Islam. Tujuannya adalah untuk memberikan penjelasan sebenar kepada dunia modern (termasuk melayu totok kat Malaysia ni) tentang “Islam yang benar” (الطبيعة الحقيقية للإسلام) dan “kebenaran Islam” (وطبيعة الإسلام الحقيقي) yakni selain dari 4 mazhab / aliran utama dalam Islam, iaitu Zaidiyah & Jaafari (Syiah), mazhab Zahiri & Ibadi.

3. TIGA POINT UTAMA DI DALAM RISALAH INI.

Untuk menguatkan asas keutamaan keagamaan dan mencari titik persamaan di dalam permasalahan ini, Raja Abdullah II memajukan tiga pertanyaan kepada 24 orang ulama terlama dari setiap pelosok dunia yang mewakili dari seluruh Aliran dan Mazhab dalam Islam untuk mencapai satu dasar dan ijma’ yang similar. Antara soalan tersebut :

1. Siapa / aliran / mazhab yang termasuk dalam Islam / Muslim ?
2. Apakah boleh melakukan Takfir kepada orang lain ?
3. Siapakah yang memiliki haq dan veto untuk mengeluarkan fatwa ?

Dengan berlandaskan fatwa-fatwa ulama besar (العلماء الكبار) termasuk diantaranya ialah Syeikhul Azhar, Ayatullah As-Sistaniy, dan Syeikh Al Qardhawi, maka pada Julai tahun 2005, HM King Abdullah II mengadakan sebuah Persidangan Islam Antarabangsa di Amman, Jordan yang mengundang 200 Ulama terkemuka dunia dari 50 buah negara. Ulama-ulama tersebut telah mengeluarkan sebuah panduan tentang tiga isu fundamental merujuk kepada tiga soalan yang dikemukan oleh King Abdullah II (yang kemudian dikenali dengan sebutan “Tiga Point dalam Risalah Amman” (محاور رسالة عمّان الثلاثة)

Berikut adalah hasil dan kesepakatan dalam Risalah Amman yang dikeluarkan oleh ratusan Ulama dari seluruh dunia yang terlibat :

1. Sesiapa sahaja yang mengikuti 4 Mazhab dari Ahlul Sunnah Wal Jamaah (Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e & Hanbali), Mazhab Ja’afari & Zaidiyah (Syiah), Mazhab Ibadi dan Mazhab Zahiri, maka dia adalah Muslim (Islam), tidak boleh mentakfirkan dengan sewenangnya, haram darahnya, kehormatannya dan hartanya. Selain itu, dalam fatwa Fadlilatus Syeikhul Al-Azhar tidak boleh mentakfir ulama-ulama yang beraqidah Al-Asy’ariyah dan aliran Tasawwuf yang hakiki (benar).

Sehubungan dengan itu juga, tidak dibenarkan mengkafir kaum Muslimin yang beriman kepada Allah dan kepada Rasulullah, beriman kepada rukun-rukun Iman, menghormati rukun Islam dan tidak mengingkari segala yang termaktub, yang berasal dari agama Islam.

2. Walaupun setiap mazhab tentunya banyak terdapat perbezaan (ikhtilaf), maka para ulama dari 8 mazhab yang aku sebut diatas, telah bersepakat dalam mabda’ yang asas bagi Islam. Iaitu, kesemuanya beriman kepada Allah SWT, Al-Qur’an adalah Kalamullah, Baginda Muhammad SAW adalah Nabi sekaligus Rasul bagi umat manusia seluruhnya, dan mereka (para mazhab) bersepakat atas 5 Rukun Islam dan 6 Rukun Iman, dan juga para ulama dari perngikut Mazhab tersebut menetapkan hanya berbeza pendapat dalam masalah Furu’ (cabang) dan bukan masalah Ushul (pokok). Seperti yang pernah diperkatakan :

إنّ اختلاف العلماء في الرأي أمرٌ جيّد

“Sesungguhnya ikhtilaf (perbezaan pendapat) para ulama dalam masalah pemikiran hal yang baik”

3. Perakuan terhadap mazhab² dalam Islam ini membawa maksud adalah berkomitmen dengan metodologi (manhaj) dalam hal fatwa. Oleh yang demikian, tidak semua ulama boleh mengeluarkan fatwa selain dari ulama yang memenuhi kriteria tertentu dalam setiap mazhab dan tidak boleh berfatwa selain yang berkaitan dengan manhaj (metodologi) mazhab, dan seseorang itu juga tidak dibenarkan mengklaim ijtihad dan mengembangkan atau membuat mazhab, atau pendapat baru, ataupun mengeluarkan fatwa yang tidak boleh diterima yang mana mampu membuatkan seseorang itu mengeluarkan kaum Muslim yang lain dari kaedah syar’iyyah, prinsip, ketetapan dari mazhabnya. Untuk bahasa yang mudah difahami, Ulama yang telah disepakati jer boleh berfatwa dan berijtihad di dalam mazhab masing². Dipendekkan cerita, bila ulama kau ditetapkan perkara yang haq, kau ikut jer. Jangan lawan. Jangan kafirkan orang lain. Kalau kau nak lawan juga, baik kau yang jadi ulama. (macam tuu laa maksudnya)

Ini adalah kesepakatan dan ijtihad dari 200 Ulama, 50 buah negara. Faham tak?

4. ADAKAH RISALAH AMMAN BERASAL DARI ARAB SAUDI ATAS PROPOSAL KING ABDULLAH II?

Dukacita ingin saya maklumkan, pernyataan tersebut adalah sangat kurang bijak dan terlalu rakus. Persoalannya di sini, adakah King Abdullah II tersebut berasal atau mewakili Arab Saudi?

Jawapannya : TIDAK DAN TIDAK MUNGKIN

HM (His Majesty) King Abdullah II Bin Al Hussein adalah Raja Jordan sejak dari tahun 1999 yang dilahirkan di Amman, Jordan. Dan Risalah Amman bukan berasal dari Saudi. Memandangkan persidangan tersebut dilakukan di Amman, Jordan, maka dinamakan laa bersempena tempat tersebut yakni di Amman. Dan kalau persidangan tersebut diadakan di Kodiang, sudah pasti akan dinamakan Risalah Kodiang / Kodiang Message / رسالة كودياع

5. PENGGUNAAN RISALAH AMMAN / AMMAN MESSAGE DALAM PERDEBATAN

Acapkali terlihat pengunaan risalah ini apabila berlakunya perdebatan termasuk aku sendiri. Walaubagaimana pun, jika aku yang gunakan, tidak lain tidak bukan adalah untuk memberikan kefahaman yang jelas bahawa terdapat firqah Syiah yang masih dalam islam dan tidak layak untuk dipukul rata kesemuanya. Dan tidak sama sekali ada niat untuk convert orang lain menjadi Syiah walhal aku sendiri pun bukan syiah.

Dan penggunaan risalah ini hanya untuk penerangan dalam permasalahan berkenaan perang di Timur Tengah yang pada masa ini jadi spotlight ditujukan pada Syria yang mana sering dikaitkan dengan perang antara Sunni dan Syiah, Ulama-Ulama dan grand mufti di Syria juga di fitnah jadi tali barut Syiah. Dan selain dari yang aku sebutkan adalah tomahan dan fitnah.

Semoga kita semua diberikan kefahaman.

Sekian, Alfu Syukran.

 

Zukiee Ismail,
13 RabiulAwal 1440H

Rujukan :
1. Ammanmessage.com
2. Directorate S: The C.I.A. and America’s Secret Wars in Afghanistan and Pakistan, Steve Coll
3. Language and Change in the Arab Middle East: The Evolution of Modern Arabic Political Discourse, Amy Ayalon
4. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Abdullah_II_of_Jordan