Apa punca mansuh harga siling minyak? Kerajaan PN wajar berterus-terang

Apa punca mansuh harga siling minyak? Kerajaan PN wajar berterus-terang

Kenyataan Media Pemuda AMANAH Nasional

Pemansuhan Siling Harga Minyak: Perikatan Nasional Perlu Berterus Terang

11 Jun 2020

Pemuda AMANAH memandang serius tindakan kerajaan Perikatan Nasional memansuhkan harga siling minyak secara senyap-senyap, tanpa membuat pengumuman jelas kepada rakyat.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini melalui pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng pada 27 Febuari 2019, menetapkan RON95 pada harga siling RM2.08. Penetapan harga itu bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter sungguh pun harga minyak dunia naik lebih daripada itu. Tindakan ini juga menyebabkan kadar inflasi yang rendah pada tahun 2019.

Keputusan PN memansuhkan harga siling juga bermakna tiada lagi subsidi minyak kepada rakyat sekiranya harga minyak meningkat. Walaupun harga minyak dunia pada ketika ini sedang rendah, namun Pemuda AMANAH berpandangan, sekiranya minyak Brent meningkat lebih daripada USD60 setong, rakyat akan terbeban dengan kenaikan harga minyak kerana tiada lagi pemberian subsidi daripada kerjaan. Malah, harga barangan dan keperluan lain juga turut meningkat, sekaligus membebankan rakyat.

Pemuda AMANAH juga memandang langkah ini sebagai isyarat tersembunyi tentang keadaan sebenar kewangan kerajaan. Kerajaan perlu berterus terang tentang keadaan yang menyebabkan kerajaan bertindak menarik subsidi minyak ini. Adakah ianya disebabkan hasil cukai yang bakal menurun, atau menampung kos operasi kerajaan yang terlampau tinggi kerana melantik seramai mungkin Menteri dan Timbalan Menteri?

Kerajaan PN harus berterus terang kepada rakyat dan tidak membiarkan rakyat terus berteka-teki.

Abu Arslan
Biro Hal Ehwal Ekonomi
Pemuda AMANAH Nasional

Sumber: