Ada apa kaitan doktor gigi dengan kemalangan jalanraya? Rupanya ada pasukan khas yang bertungkus lumus dibelakang tabir.
Tapi ada juga doktor gigi yang dipanggil? Apa tugas mereka dengan kemalangan jalanraya?
Menurut Dr Ibshah, terdapat satu bidang khas dalam pergigian yang kritis dalam mengidentifikasi bahan bukti dan sisa pergigian berkaitan dengan kes seperti yang berlaku di Elmina, Lahad Datu, dan MH17
Dr Ibshah menyatakan bahawa tidak ada dua set gigi yang serupa, dan setiap gigi adalah unik seperti cap jari individu.
Gigi seseorang adalah seunik cap jari mereka sendiri. Ketika bencana melanda, rekod pergigian memainkan peranan penting dalam membantu penyiasatan. Ciri-ciri pergigian yang unik, termasuk tampalan gigi dan rawatan pergigian, dapat menjadi kunci untuk mengenalpasti mayat.
Dr Ibshah menambahkan bahawa apabila mayat mengalami kecederaan teruk akibat impak, letupan, atau kebakaran, rekod pergigian masih dapat diambil kerana gigi dilapisi enamel, bahan yang paling keras dalam tubuh manusia. Dengan kekuatan daya tekanan sehingga 13,000 kg, gigi juga dapat bertahan dalam suhu ekstrem, hingga 1,600°C.
Ahli forensik pergigian, bekerjasama dengan pasukan lain seperti polis dalam Identifikasi Mangsa Bencana (DVI), mencari bukti pergigian untuk mengenalpasti mayat yang tidak dapat dikenal. Ini penting agar mereka dapat dikenali dan diberikan penghormatan terakhir oleh keluarga mereka.
Lebih lanjut, selain dari pengesahan mayat, pakar forensik pergigian juga dapat mengidentifikasi bentuk gigitan dalam kes-kes trauma, menilai umur mangsa, membantu dalam post-mortem, dan memberikan keterangan profesional di mahkamah.
Jadi, apa peranan semua doktor gigi yang lain? Ia melibatkan menyimpan rekod secara lengkap dan terperinci, termasuk carta pergigian, radiograf, dan model kajian.
Rekod ini sedia untuk dikongsi dengan pasukan Identifikasi Mangsa Bencana apabila diperlukan. Peranan masyarakat juga penting, dengan menjalani rawatan pergigian berkala untuk kesihatan oral dan menyimpan rekod pergigian secara teratur.