“Apa hala tuju undi 18?”, tanya anak muda kepada SPR

“Apa hala tuju undi 18?”, tanya anak muda kepada SPR

Berikutan ura-ura pilihan raya umum ke 15 lebih awal, 10 pemimpin anak muda dari parti-parti politik Malaysia termasuk dari Umno mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan apakah halatuju pelaksaan had layak mengundi 18 tahun ke atas (Undi18) yang telah diluluskan dua pertiga oleh Parlimen Malaysia.

Sebagai pemimpin muda dalam sistem politik merentasi parti di negara ini yang mewakili anak muda, mereka ingin mengajukan pertanyaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang hala tuju pelaksanaan Undi18.

“Kami bersedia untuk dijemput menghadiri sesi penerangan atau perbincangan bersama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar maklumat dan situasi semasa dapat kami sampaikan kepada golongan anak muda di dalam parti masing-masing,” kata kenyataan berbentuk surat terbuka kepada SPR itu.

Ia ditandatangani oleh Howard Lee Chuan How (Ketua DAPSY Kebangsaan), Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin (Ketua Pejuang Muda (Penaja) -Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Shazni Munir Mohd Ithnin (Ketua Pemuda AMANAH Nasional Malaysia), Sharan Raj (Ahli Jawatankuasa Pusat – Parti Sosialis Malaysia), Akmal Nasir (Ketua AMK Kebangsaan).

Turut mendatanganinya adalah Datuk Mohd Azis Haji Jamman (Ketua Wira Warisan), Felix Joseph Sitin (Ketua Pergerakan Generasi Muda UPKO), Jo -Anna Sue Henley Rampas (Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah), Shahril Sufian Hamdan (Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia), YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman (Pengasas Muda).

Adalah penting, kata mereka untuk semua mengakui pindaan ini telahpun menerima kelulusan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Adalah dikhuatiri sebarang tindakan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan Undi18 ini bakal diterjemahkan sebagai usaha menafikan hak anak muda untuk mengundi dan memilih wakil mereka di Parlimen yang kini telahpun termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan demokrasi sejak merdeka, penafian hak anak muda ini akan hanya menjejaskan imej Malaysia di mata dunia,” kata surat itu.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Selain itu juga, RUU tersebut telah meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Melalui pindaan ini juga, pendaftaran warganegara sebagai seorang pengundi adalah secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun.

Sepuluh hari kemudian, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti melebihi dua pertiga.

“Maka, dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan ini, sepatutnya pilihan raya yang bakal menjelang kelak akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik,” kata surat itu.

Menurut sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sehingga 21 Jun 2019, seramai 1,524,052 juta pengundi muda akan terkesan dengan pindaan Rang Undang-Undang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui capaian di laman sesawang rasmi https://www.spr.gov.my/ms/pilihan-raya/soalan-lazim/undi18 juga meletakkan sasaran bagi tarikh kuat kuasa pindaan ini adalah antara 18-24 bulan mulai September 2019.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/pemimpin-anak-muda-tanya-apa-halatuju-undi18-kepada-spr/