Apa guna darurat kalau kerajaan tak boleh paksa bank beri moratorium automatik kepada semua?

Apa guna darurat kalau kerajaan tak boleh paksa bank beri moratorium automatik kepada semua?

Pemimpin Umno mempersoalkan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menentukan apa yang dapat disediakan oleh moratorium bank atau bagaimana ia dilaksanakan.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata apa guna darurat dilaksanakan kerajaan jika tidak memanfaatkan kuasa demi rakyat sebagaimana diperuntukkan bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Bukankah pengisytiharan atau proklamasi darurat dijadikan alasan untuk kerajaan punya kuasa menangani Covid-19 dengan berkesan dan membantu rakyat dalam tempoh pandemik ini.

“Kerajaan mesti dilihat pro-rakyat, bukan sekadar menurut saja kemahuan institusi kewangan yang jelas mencatatkan keuntungan besar ratusan juta, bahkan ada beberapa bank besar mencatatkan keuntungan bersih berbilion ringgit untuk hanya tempoh suku pertama 2021,” katanya kepada FMT.

Pada sidang media hari ini, Tengku Zafrul berkata moratorium itu adalah hasil perbincangan antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank-bank.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengapa moratorium tidak diberikan kepada semua dan secara automatik, seperti dilakukan pada perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama.

Moratorium pilihan diumumkan semalam adalah untuk kumpulan B40, mereka yang kehilangan pekerjaan, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, senada dengan Asyraf dan membidas kenyataan Tengku Zafrul berkaitan moratorium automatik.

“Apa makna darurat. Bukankah Bank Negara bawah kerajaan. Perkenalkan peraturan, sudah ada kuasa bawah darurat,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii, berkata kerajaan perlu menggunakan kuasa darurat demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Katanya, jika sebelum darurat dilaksanakan kerajaan berjaya melaksanakan moratorium automatik, mengapa ketika waktu yang amat memerlukan ini ia sukar dilaksanakan.

“Demi kesihatan dan sosial rakyat, malah darurat dilaksanakan, aset swasta boleh diambil dalam menjaga kepentingan kesihatan, mana mungkin kerajaan tidak ada kuasa untuk mengarahkan Bank Negara meminta moratorium secara automatik,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Firdausi Suffian, berkata kerajaan boleh membuat rundingan dengan bank dan mempunyai pengaruh melalui dasar tertentu.

Katanya, dasar fiskal dan kewangan adalah contoh yang mana kerajaan boleh mempengaruhi hala tuju bank untuk mendukung kerajaan mengatasi krisis.

“Moratorium diperkenalkan kerajaan adalah inisiatif kerajaan supaya bank boleh berikan kepada peminjam.

“Kalau masih ingat moratorium pertama apabila bank ingin caj faedah kepada sesiapa yang mengambil moratorium, kerajaan membuat rundingan agar tidak membayar faedah yang tertunggak itu,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/01/pastikan-moratorium-untuk-semua-jangan-ikut-telunjuk-bank-pemimpin-umno-beritahu-tengku-zafrul/