Anwar sindir Annuar Musa terdesak mahu selamatkan jawatan menteri

Anwar sindir Annuar Musa terdesak mahu selamatkan jawatan menteri

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa UMNO kini seperti sudah berada di bawah pengaruhnya sebagai tindakan terdesak.

Menurutnya, dakwaan Ahli Parlimen Ketereh itu hanya bertujuan untuk menjaga kedudukannya sebagai menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

 

“Annuar Musa ini saya tidak tahu dia ini mewakili siapa dan maklumat dari mana, dia nampak terdesak. Dia nak jaga jawatan dia, dia jagalah, tetapi jangan sentuh dan ganggu orang lain.

“Saya ingat politik dia itu hanya nak jaga jawatan menteri dia, dia tak peduli parti dia. Dia tidak peduli cakap benar atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Retreat Kepimpinan Keadilan Negeri Sembilan di Ancasa Residences Port Dickson pada malam Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

 

Annuar sebelum ini mendakwa UMNO kini seperti sudah berada di bawah pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kenyataan media terbaru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan bukti bahawa UMNO kini dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Anwar menyambut baik kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersedia melakukan siasatan terhadap dakwaan beberapa individu cuba menyogok ahli Parlimen seperti tular dalam media sosial.

“Itu kenyataan umum, saya percaya SPRM boleh telus jalankan tugas, orang-orang ini dipanggil oleh orang-orang tertentu dan diberikan maklumat dan percubaan untuk menyogok, saya tidak fikir SPRM cuba berikan alasan untuk keluar dari masalah ini.

“Saya ucapkan terima kasih atas kepekaan SPRM yang mengukuhkan pandangan bahawa mereka itu bertindak secara profesional tapi saya nak ini dibuktikan dengan tindakan yang tidak memilih bulu sama ada pembangkang atau kerajaan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127244/BERITA/Politik/Annuar-terdesak-mahu-jaga-jawatan-menteri-kata-Anwar