Anwar seorang pemimpin yang berusaha keras cuba gulingkan PN – Xavier

Anwar seorang pemimpin yang berusaha keras cuba gulingkan PN – Xavier

Timbalan Presiden PKR Xavier Jayakumar merayu penyokong pembangkang supaya terus mempercayai ketua Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, selepas kegagalan pembangkang menghalang kerajaan meluluskan Belanjawan 2021.

Katanya, walaupun diluluskan, kelebihan undi yang sedikit “menunjukkan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai majoriti kuat di Parlimen”.

Beliau mengingatkan penyokong, sejak kejatuhan kerajaan PH, “orang yang memainkan peranan paling penting serta agresif menentang PN tidak lain tidak bukan adalah Anwar Ibrahim”.

Dalam kenyataan, Xavier berkata Anwar satu-satunya pemimpin yang berusaha keras cuba menggulingkan kerajaan PN.

“Jika usahanya sebelum ini berjaya, pasti semua orang berseronok dan menikmati hasil usahanya.

“Bagaimanapun, disebabkan kalah undian di Parlimen, adakah wajar kita kini menyelarnya gagal dan mesti dikeluarkan?”

Belaiu berkata, PN pasti kalah lebih banyak undian peruntukan kementerian jika parti pembangkang lebih bersatu dan kurang mereka yang berkecuali.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana berusaha mengembalikan mandat rakyat. Perlu diingat, kita melalui zaman kehidupan luar biasa seterusnya bererti langkah luar biasa juga perlu diambil untuk menyelamatkan negara.”

Susulan itu, Xavier berkata, rakyat mesti sedar kejatuhan kerajaan PH bukan disebabkan Anwar, tetapi “akibat keputusan unilateral Dr Mahathir (Mohamad) meletak jawatan sebagai perdana menteri tanpa berunding dengan pemimpin PH lain.

“Ini berlaku selepas kami memberinya peluang untuk menyertai kami dalam melaksanakan perubahan. Partinya hanya minoriti dalam kerajaan, tetapi kami masih memberinya peluang menjadi perdana menteri namun itu pun gagal dipenuhi.”

Katanya, korupsi akan meningkat selagi kerajaan yang berkuasa tidak stabil, dan berterima kasih kepada Anwar kerana “usahanya cuba membawa perubahan yang patut disokong kita semua, tidak kiralah cara diperlukan untuk melaksanakannya.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/17/percayalah-pada-anwar-kata-timbalan-presiden-pkr/