Anwar mahu kerajaan segerakan bantuan kewangan

Anwar mahu kerajaan segerakan bantuan kewangan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan untuk segera menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia sebelum berakhir April depan.

Menerusi muatnaik video petang tadi, Anwar menegaskan, ketika ini kerajaan perlu mempertimbangkan golongan terjejas yang amat memerlukan bantuan sepanjang menghadapi penularan ancaman wabak Covid-19.

“Bagi orang yang mempunyai pendapatan tetap, menangguhkan satu hingga dua minggu itu munasabah.

“Bagi penjaja dan pekerja harian yang telah diberhentikan atau terpaksa berhenti kerana peraturan yang ada, untuk menangguh tiga hingga empat hari itu akan menjadi beban.

“Segerakan penyaluran bantuan, ketepikan kerenah birokratik dan jaga kepentingan rakyat miskin dan susah,” katanya di laman Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata lagi, apa yang penting, rakyat Malaysia juga perlu belajar bersederhana dari kebiasaan amalan kehidupan mewah sebelum ini dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang menghadapi kesusahan.

Namun katanya, pengumuman kerajaan baru-baru ini yang melarang penyertaaan persatuan badan bukan kerajaan (ngo) atau masyarakat sivil dalam kegiatan penyaluran makanan, seharusnya tidak berlaku.

Jelasnya, ketika ini kerajaan tidak sewajarnya memikirkan untuk menonjolkan parti masing-masing untuk menyalurkan bantuan atau atas nama kerajaan.

“Bayangkan 10 kakitangan kerajaan di satu daerah, mahu salurkan bantuan makanan kepada ribuan orang. Itu tak munasabah. Oleh yang demikian, kerajaan perlu beri kelonggaran.

“Sekarang ini orang ramai perlu dibantu dalam keadaan segera. Ia termasuklah wang daripada kerajaan dan peranan masyarakat sivil atau ngo.

“Jangan kita sulitkan dan perketatkan syarat. Terutama dalam keadaan negara menghampiri darurat di mana masyarakat memerlukan pertolongan dari mereka yang berupaya,” katanya.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/anwar-gesa-kerajaan-salurkan-bantuan-kewangan-sebelum-akhir-april/

COMMENTS