Anwar buat mesyuarat PH selepas selesai bertemu speaker, sampaikan hasrat adakan sidang parlimen

Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azizan Harun di parlimen hari ini.

“Dalam pertemuan itu kami membangkitkan keperluan mengadakan sidang Dewan Rakyat selaras dengan kenyataan media Istana Negara tempoh hari,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan pada 3 Mac lalu berkata kabinet pentadbiran PN bersetuju sidang parlimen ditangguhkan sehingga 1 Ogos depan.

Takiyuddin mengemuakan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan Covid-19 dalam bangunan parlimen.

Ahli parlimen Kota Bharu itu juga berkata keadaan majoriti ahli parlimen yang merupakan warga emas juga meletakkan mereka sebagai kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Anwar memaklumkan hari ini selepas pertemuan bersama speaker, Majlis Presiden PH telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hasil pertemuan tersebut.

“Majlis Presiden juga turut menyentuh beberapa isu mutakhir serta persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Feb bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat perdana menteri.

Pengkritik berpendapat penangguhan sidang parlimen dibuat kerana kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin telah kehilangan majoriti.

Ini selepas dua ahli parlimen Umno, MP Padang Rengas Nazri Aziz dan MP Machang Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Muhyiddin kemudian kembali memperoleh majoriti mudah setelah dua lagi ahli parlimen PKR berpaling tadah, MP Julau Larry Sng dan MP Tebrau Steven Choong.

Bagaimanapun, semalam dilaporkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah mengutus surat kepada Muhyiddin, memaklumkan Umno akan mengakhiri kerjasama dengan Bersatu sebaik PRU15 bermula.

Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu pula akan bermesyuarat membincangkan hubungannya dengan Umno petang ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin berkata kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan turut dibincangkan.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/565245

COMMENTS

Wordpress (0)