Selepas dikritik ekoran pendiriannya tidak jelas, Maszlee Malik memberitahu beliau sebenarnya berat hati ketika berada di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wakil rakyat Simpang Renggam berkata apatah lagi ramai antara mereka yang terlibat dengan kes rasuah dan penyelewengan.
“Ada di antara mereka yang masih diselaputi isu-isu rasuah dan penyelewengan termasuk di Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, yang dahulunya puas saya berusaha membersihkan bekas-bekas yang mereka tinggalkan,” katanya di Twitter.
“Saya bertanya kepada diri sendiri, apakah saya bersedia untuk menerima semula mereka?”
“Lalu menjadikan mereka pemimpin negara semula setelah mereka ditolak oleh rakyat dan ada di antara mereka yang sedang menghadapi proses pengadilan?”.
Bekas menteri pendidikan itu berkata beliau kemudian dihubungi keluarga, rakan-rakan dan para pengundi yang meminta jangan khianat pada mereka.
Setelah berbincang dengan beberapa individu yang rapat, sekitar 4 petang, beliau memilih meninggalkan kumpulan Muhyiddin.
“Keputusan ini adalah muktamad, kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan politik,” katanya lagi.
Maszlee merupakan antara pemimpin yang bukan sahaja berada di rumah Muhyiddin, malah turut serta ke Istana Negara bersama mereka.
Muhyiddin dipilih selaku perdana menteri kelapan selepas diberikan mandat oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).