Annuar sifatkan Bersatu dan Pas cuba sembunyikan musuh politik sebenar

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan parti-parti Melayu tidak bermusuh sebaliknya wujud kekeliruan yang cuba menyembunyikan musuh politik sebenar mereka.

Beliau menjelaskan antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan musuh tetapi pesaing atau rival.

Malah, katanya, ada usaha yang cuba menggambarkan kononnya satu pihak itu musuh, walaupun sebenarnya tidak.

“Seruan itu hanya satu ugutan untuk mengelirukan supaya hasrat bekerjasama dengan musuh yang sebenar dapat disembunyikan.

“Demikian bila dendam mendalam, kawan dianggap musuh dan musuh cuba dijadikan kawan,” kata Annuar dalam kenyataannya di laman Facebooknya pada Isnin.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, itulah politik ‘matlamat menghalalkan cara’, ‘Politik Machiavelli’ namun politik Islam tidak begitu kerana politik Islam berpegang kepada kebenaran.

Menurutnya, istilah musuh sering kita dengar dalam politik tetapi tafsirannya luas dan sangat subjektif yang kadangkala istilah disalahgunakan malah kadangkala tidak jelas antara pesaing (rival) dengan musuh (enemy).

Beliau turut menyifatkan parti-parti Melayu yang mendukung cita -cita perjuangan yang sama, bukan musuh tetapi mereka mungkin pesaing.

“Tetapi parti-parti yang mempunyai ideologi berbeza dan memasang cita -cita melenyapkan apa yang diperjuangkan oleh satu-satu pihak boleh di anggap musuh kerana mereka memusuhi satu sama lain.

“Dalam al-Quran ada digambarkan tentang ‘musuh’ dan larangan mengambil musuh menjadi orang kepercayaan. Malah, al-Quran juga ada menghuraikan soal kumpulan dan puak yang bertelagah (rival), menyeru ke arah perlunya bersederhana, toleran dan berusaha ke arah kerjasama (taawun) atas perkara kebaikan dan kebajikan,” kata Annuar.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127403/BERITA/Politik/UMNO-Pas-dan-Bersatu-bukan-musuh-tapi-pesaing-Annuar

COMMENTS

Wordpress (0)