Annuar Musa nafi ada jam tangan jenama Richard Mille

Annuar Musa nafi ada jam tangan jenama Richard Mille

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menafikan yang dia memiliki jam tangan mewah mencecah jutaan ringgit seperti dilaporkan sesetengah media.

Annuar berkata dia tidak pernah memilik jam tangan mewah jenama Richard Mille seperti dipetik media.

“Boleh dakwa (saman) pulok (pula) ni….Ambo (Saya) tak ada (jam jenama) Richard Mille,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu portal berita Malaysia Dateline melaporkan, tular di media sosial padanan jam tangan dipakai Menteri Wilayah Persekutuan itu pada sidang medianya sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan kelmarin Isnin lalu.

Imej jam mewah di tangan kiri pemimpin Umno berusia 65 tahun berkenaan dikatakan berharga RM953,024, lapor portal berkenaan.

Gambar itu turut dikongsikan oleh Facebook rasmi Penerangan Keadilan Rakyat Cabang Simpang Renggam.

Selain itu, portal sg.news.yahoo.com pula melaporkan warganet mengesan penampilan Annuar berbaju batik biru tua dan berjam tangan mewah dikesan ketika Ahli Parlimen Ketereh berkenaan mengumumkan senarai 335 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

Menurut portal itu semua mata tertumpu pada jam tangan berwarna emas yang dipakai Annuar ketika sidang media itu.

Portal itu memetik pengguna media sosial yang berpendapat bahawa jam tangan itu berjenama Richard Mille yang mana harganya sekitar RM1 juta.

Ini bukan kali pertama pemimpin kerajaan berdepan dakwaan seumpama ini.

Pemimpin sebuah NGO, R Sri Sanjeevan pada 2015 pernah menerbitkan satu siri gambar dalam talian yang memaparkan jam tangan mewah yang dipakai oleh ahli-ahli politik.

Mereka termasuklah Perdana Menteri ketika itu Najib Razak dan pemimpin Umno lain seperti Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.

Sebahagian besar daripada mereka tidak menjawab dakwaan berkenaan.

Hanya Zahid Hamidi tampil menjelaskan jam tangan mewah yang diperagakannya diperolehi semasa terlibat dalam dunia korporat.

Oleh itu, kata Zahid soal jam tangan mahal itu tidak sepatutnya diperbesar-besarkan. –MK