Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini membuat laporan di Balai Polis Putrajaya ke atas satu video yang tersebar di kalangan pengguna media sosial.
Video yang tersebar itu memaparkan perbualan empat individu yang sedang berbual-bual. Walau bagaimanapun perbincangan itu secara secara jelas memburuk-burukkan Mujahid yang diakhiri dengan seruan supaya Mujahid disimbah asid.
“Seruan ini adalah sangat merbahaya kerana ianya menganjurkan suatu perbuatan jenayah serius yang boleh mendatangkan kecederaan malah boleh membawa maut, malah video itu sendiri mengandungi berita tidak benar dan fitnah selain ancaman serius kepada Menteri” Ujar Pegawai Khas kepada Mujahid yang enggan mendedahkan namanya atas faktor keselamatan.
Beliau juga meminta agar semua pihak berhenti menggunakan fitnah untuk mengganggu kestabilan politik Negara dan mendesak agar pihak polis dan SKMM bertindak tegas mengekang fitnah dan perbuatan hasutan yang sudah terlalu berleluasa di media sosial.
Mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan, ugutan untuk mendatangkan kecederaan serius boleh dihukum dengan 7 tahun penjara.