Aminolhuda dicalonkan sebagai ketua pembangkang Johor

Aminolhuda dicalonkan sebagai ketua pembangkang Johor

Bekas exco pendidikan, Aminolhuda Hassan dicalonkan sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, bagi menggantikan Hasni Mohammad yang diangkat menjadi menteri besar negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pakatan Harapan (PH) Johor berkata pencalonan itu dibuat selepas mendapat persetujuan majlis pengerusi PH negeri itu.

“PH Johor bersetuju melantik Aminolhuda sebagai calon ketua pembangkang Johor dan keputusan ini telah dimaklumkan kepada Speaker dan Setiausaha Dewan Negeri Johor.

“Pada saat genting seperti kini, kebajikan rakyat merupakan keutamaan PH. Jadi, kami sedia menghulurkan bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, PH Johor faham kebimbangan dan kesulitan rakyat berhubung pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

PH Johor berikrar untuk membantu semua rakyat yang memerlukan.

Tambah kenyataan itu lagi, walaupun tempoh lantikan ahli majlis, ketua kampung, ketua masyarakat, MPKK dan pemimpin komuniti tempatan yang dilantik mereka sebelum ini telah tamat, namun kesemua mereka masih memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat tanpa mengenal penat lelah.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan negeri Johor bahawa kami akan terus pantau, semak dan imbang jentera pentadbiran mereka,” kata kenyataan itu yang turut mengesahkan bahawa semua ahli majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat yang dilantik sebelum ini menamatkan perkhidmatan mereka hari ini.

Tambah kenyataan itu, PH Johor juga turut menolak pelantikan persendirian anggotanya ke jawatan-jawatan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN).

“Sekiranya Kerajaan Negeri ingin bekerjasama dengan PH dalam usaha melawan krisis Covid-19, mereka perlu mengadakan perbincangan dengan pimpinan PH di peringkat negeri dan pusat, bukannya menerusi cara ‘pecah dan tawan’.

“Kami menyeru agar semua anggota parti melibatkan diri dalam usaha membantu rakyat tetapi tetap berpegang kepada prinsip kami dan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan,” kata kenyataan itu lagi.

COMMENTS