Amanah tidak akan biarkan pembangkang ganggu gugat Pakatan Harapan

Mohamad-Sabu-1.jpg

Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendirian tegas akan terus mengukuhkan kesepakatan politik Pakatan Harapan (PH) demi mematahkan agenda kelompok pembangkang dalam cubaan meruntuhkan benteng semangat kesatuan antara parti yang telah terbina.

Presidennya, Mohamad Sabu menzahirkan tekad untuk mengekalkan persefahaman politik antara parti komponen PH oleh kerana menyedari mandat yang diberikan rakyat Malaysia, tidak boleh disia-siakan.

Sebagaimana kejayaan AMANAH menjayakan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu, Mohamad dalam amanatnya turut menzahirkan tekad akan ‘menjayakan’ secara maksimum janji kepada rakyat.

“Kita menyedari kelompok yang tewas dalam pilihan raya sentiasa berusaha untuk merobek kesatuan PH dan kita tidak akan benarkan ia berlaku.

“Oleh itu, menyedari kehendak rakyat yang mengharapkan perubahan berlaku dalam negara setelah lebih 60 tahun diperintah oleh Barisan Nasional (BN), maka AMANAH menyatakan tekad kita untuk bersama-sama dengan kerajaan PH berusaha semaksimum mungkin untuk melaksanakan janji-janji dalam pilihan raya.

“Sekiranya kamu (pembangkang) nak menguasai negara ini, sabar tunggu sampai pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional 2019, di Pusat Konvensyen (IDCC) Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, beliau mengingatkan demi memastikan AMANAH terus relevan dalam persada politik tanah air, setiap ahli diingatkan agar terus bergerak di atas landasan agama selaras dengan dasar parti dan juga kedudukannya dalam perlembagaan persekutuan.

Menurutnya lagi, Islam rahmat untuk semua bukan sekadar perlu diamalkan agar menjadi jati diri dan pegangan seluruh ahli AMANAH, bahkan sebagai halatuju untuk dibina dalam masyarakat.

Dalam pidatonya itu juga, Mohamad menekankan tentang demokrasi negara bagi mengelakkan berlakunya kekuasaan yang berlebihan atau salah guna kuasa dalam pentadbiran.

Dengan itu katanya, AMANAH akan berusaha untuk mempengaruhi kerajaan untuk meminda perlembagaan agar dihadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja

“Ia sesuatu yang sekian lama kita perjuangkan bertujuan untuk mengelakkan berlakunya kekuasaan yang berlebihan di sesuatu pihak dan memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Tahniah kepada kerajaan Melaka yang telah memulakan pindaan undang-undang tubuh negeri yang menghadkan Ketua Menteri hanya dua penggal,” katanya