AMANAH Parti Masa Depan

Konvensyen AMANAH 2019 telah berakhir pada Ahad lepas dalam suasana harmoni. Rata-rata perwakilan yang hadir berpuas hati dengan penganjuran Konvensyen AMANAH kali ini. Mereka juga berpuas hati dengan proses demokrasi yang berlaku berkaitan pemilihan parti. Terdapat beberapa pemerhatian menarik mengenai pemilihan parti yang berlangsung kali ini yang bukan sahaja menarik perhatian ahli parti bahkan kepada masyarakat keseluruhannya. Keberdayaan AMANAH untuk menarik perhatian rakyat Malaysia adalah amat membanggakan kerana konvensyen kali ini berlangsung serentak dengan mesyuarat tahunan dua parti lain yang lebih ramai ahlinya iaitu Mesyuarat Agung UMNO dan Kongres PKR. Kebolehan AMANAH untuk mencuit perhatian rakyat menunjukkan AMANAH telah berjaya menempatkan parti ini di posisi penting dalam arena politik negara.

Terdapat lima fakta menarik mengenai konvensyen AMANAH kali ini.

Pertamanya, AMANAH adalah parti politik yang pertama melaksanakan sistem E-Voting (pengundian elektronik) kepada seluruh perwakilan. E-Voting ini dilaksanakan dengan penuh lancar, telus dan berintegriti. Penggunaan E-Voting ini menggambarkan betapa pimpinan dalam parti ini adalah bersedia untuk menerima perubahan teknologi. Bukan senang untuk meyakinkan pimpinan untuk menerima sistem E-Voting ini memandangkan ramai ahli AMANAH adalah golongan veteran yang masih terikat dengan sistem undi secara manual. Ada pimpinan yang khuatir jika ada pakcik dan makcik yang tua yang tidak pandai mengundi secara elektronik dan akhirnya akan mencetuskan perasaan tidak puas hati. Syukur kerana kesemua perwakilan tanpa mengira tua dan muda akhirnya telah berjaya mengundi secara saksama.

Keduanya, sistem E-Voting ini telah dilaksanakan dengan cepat dan pantas sehingga keputusan pemilihan dapat diumumkan dalam tempoh 15 saat selepas pengundian ditutup. Pemilihan yang dibuat di kalangan 822 perwakilan telah berlangsung selama 45 minit sahaja dalam suasana aman dan damai. Tiada pertelingkahan antara perwakilan mengenai pemilihan yang tidak adil. Pada masa yang sama, perwakilan dapat mengundi tanpa menggadaikan prinsip asas pengundian iaitu undi setiap orang adalah rahsia. Perwakilan boleh mengundi tanpa rasa ragu-ragu dan was-was sama ada sistem ini akan dapat menjamin kerahsiaan undi masing-masing. Perwakilan juga dapat mengundi secara serentak berbanding dengan sistem manual yang memerlukan perwakilan untuk beratur mendapatkan kertas undi di meja khas dan seterusnya mengundi di tempat yang dikhaskan. Melalui sistem E-Voting ini, perwakilan dapat mengundi di tempat duduk masing-masing dengan menggunakan telefon bimbit sendiri. Pengundian sebegini harus dipuji kerana lebih mesra alam kerana tiada kertas undi perlu dicetak. Begitu juga berlaku penjimatan kos dalam sistem E-Voting kerana kos untuk melanggan sistem E-Voting bagi 822 perwakilan adalah kurang daripada RM500 sahaja.

Ketiganya, penggunaan tenaga manusia dapat dijimatkan melalui sistem E-Voting. Jika dibuat pengundian secara manual, jumlah sumber tenaga manusia yang diperlukan adalah lebih ramai. Dalam sistem manual, untuk proses pengundian sahaja bagi 822 perwakilan dijangka sekurang-kurangnya memerlukan 20-30 orang petugas. Begitu juga bagi proses pengiraan undi, jumlah petugas yang sama juga diperlukan. Namun, melalui sistem E-Voting yang dilaksanakan ini, jumlah petugas dapat diminimakan iaitu seramai 8-12 petugas sahaja sudah mencukupi bagi perlaksanaannya. Untuk rekod, seramai 13 orang sahaja telah dilantik sebagai AJK Jawatankuasa Pemilihan Nasional.

Keempat, kunci kejayaan sistem E-Voting adalah bergantung kepada integriti data dan ketelusan pengendalian. Sistem E-Voting adalah satu teknologi yang dicipta oleh manusia. Sistem E-Voting menjamin tiada kesilapan dalam pengiraan undi dan menjamin tiada undi rosak akibat berlaku kesilapan dalam penandaan undi. Tetapi sistem ini tidak dapat menghilangkan rasa ragu-ragu atau was-was di kalangan perwakilan sekiranya proses pengendaliannya tidak kelihatan telus. Dalam proses pemilihan AMANAH, hal ini amat ditegaskan dan tidak dibuat sebarang kompromi. Sebab itulah proses pemilihan ini dibuat secara langsung (secara live) yang mana daripada proses mengundi sehinggalah kepada proses pengumuman keputusan dibuat di hadapan perwakilan dan para petugas media. Dengan cara ini, calon-calon tidak perlu lagi melantik wakil pemerhati calon kerana setiap perwakilan adalah menjadi pemerhati mereka. Langkah ini telah mendapat pujian ramai pihak termasuk daripada para pengamal media. Malah, mereka menyifatkan bahawa inilah proses pemilihan yang paling telus dalam parti sepanjang mereka membuat liputan pemilihan parti-parti politik.

Kelima, pemilihan AMANAH ini telah dibuat mengikut Perlembagaan AMANAH. Fasal 16.1 Perlembagaan parti menyatakan bahawa perwakilan perlu terlebih dahulu memilih 27 orang AJK. Setelah 27 orang AJK itu telah dipilih, Speaker akan memanggil satu mesyuarat khas di kalangan 27 AJK tersebut bersama-sama dengan kesemua 14 Pengerusi Negeri, Ketua Wanita Nasional, Ketua Pemuda Nasional dan Ketua Wanita Muda Nasional untuk memilih seorang Presiden, seorang Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden di kalangan 27 orang AJK yang dipilih itu. Ini bermakna AJK yang mendapat undi yang terbanyak di kalangan perwakilan belum tentu akan dipilih untuk menjadi Presiden melainkan beliau dipilih di dalam mesyuarat khas yang dijalankan. Hal yang sama berlaku di peringkat pemilihan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita AMANAH Nasional.

Proses demokrasi sebegini masih tidak difahami oleh ramai orang. Terdapat sindiran sinis oleh musuh-musuh AMANAH yang kononnya sepatutnya YB Khalid Abd Samad dipilih sebagai Presiden kerana beliau mendapat undi yang paling tinggi berbanding dengan YB Mohamad Sabu yang mendapat tempat ketujuh daripada ranking jumlah undi. Sindiran sinis ini dilontarkan kerana mereka tidak memahami perlembagaan AMANAH. Konsep AMANAH ini sebenarnya menggabungkan proses demokrasi yang berdasarkan satu undi bagi satu calon dan konsep syura. Ini kerana perwakilan akan memilih sekumpulan pimpinan dan pimpinan yang dipilih itu kemudiannya akan memilih siapakah di kalangan mereka yang akan menjadi ketua. Sistem pemilihan begini akan memastikan bahawa kumpulan yang dipilih itu akan benar-benar dapat melaksanakan kerja mereka atas arahan seorang ketua yang mereka percayai.

Mereka yang membuat sindiran ini juga gagal memahami Perlembagaan AMANAH kerana pemilihan dan pertandingan adalah hanya bagi jawatan ahli jawatankuasa dan bukannya bagi jawatan tertentu seperti sistem parti yang konvensional. Sistem parti yang konvensional akan membuat pertandingan berdasarkan jawatan khusus seperti jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Ini sekaligus dapat mengurangkan ‘politiking’ dan membantu menstabilkan pentadbiran parti. Ini juga dapat mengurangkan pemusatan kuasa kepada seseorang individu. Ini juga bermakna prestasi AMANAH ini tidak bergantung kepada kepada seseorang individu bagi menjamin kelangsungan parti tetapi kelangsungan parti bergantung kepada semangat kerja berpasukan kesemua 27 AJK yang dipilih.

Malah, jika dibandingkan dengan PAS, sistem AMANAH ini lebih demokratik kerana dalam PAS ahli Majlis Syura adalah dipilih dan bukannya melalui satu sistem pemilihan yang demokratik. Padahal, secara perlembagaannya segala keputusan Majlis Syura boleh membatalkan apa-apa keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa PAS Pusat. Apatah lagi, ada sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat juga menduduki kerusi dalam ahli Majlis Syura. Ini bermakna ada di kalangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat boleh mempengaruhi Majlis Syura untuk membatalkan (overwrite) keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa PAS Pusat padahal pemilihan ahli Jawatankuasa PAS Pusat dibuat secara demokrasi tetapi pemilihan ahli Majlis Syura tidak dibuat secara demokratik.

Dengan fakta-fakta yang ditunjukkan di atas menunjukkan bahawa AMANAH adalah benar-benar parti yang progresif dan maju ke hadapan. Benarlah seperti apa yang diungkapkan oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Naib Presiden AMANAH bahawa parti ini adalah parti untuk masa depan (Party For The Future).