Amanah Kelantan umum sedia kerjasama semua pihak menjelang PRU15, termasuk Umno

Amanah Kelantan umum sedia kerjasama semua pihak menjelang PRU15, termasuk Umno

AMANAH Kelantan kini sedia berbincang dengan semua pihak dengan syarat memenuhi segala asas yang ditetapkan oleh Pakatan Harapan dalam persiapan menghadapi PRU ke 15 akan datang termasuk dengan Umno yang selama ini menjadi lawan tradisi Pas di negeri pantai timur itu.

Dalam satu respon terhadap kenyataan media Umno Kelantan berkenaan isu hubungan politik dengan Pas, AMANAH melihat sikap kluk klek Pas tidak pernah berubah dan dilihat sombong oleh kerana terlalu lama berkuasa di negeri ini, kata Pengerusi AMANAH Kelantan, Mohamad Husain (gambar atas).

Beliau yang baru dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan baru-baru ini akan membawa isu ini kepada mesyuarat bulanan Pakatan Harapan Kelantan minggu depan.

“Kita sedia berunding, berbincang dan seterusnya bekerjasama dengan siapa sahaja dengan syarat memenuhi aspirasi kita termasuklah good governance, menolak rasuah dan sebagainya,” kata Mohamad kepada Malaysia Dateline.

Ketika ditanya apakah termasuk Umno, Mohamad berkata, “Ye, termasuk Umno.”

Semalam (24 Mac), Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan mendesak Pas membuat keputusan dengan jelas dan segera sama ada mahu bersama Umno atau Bersatu dalam menghadapi PRU15 nanti.

Desakan itu dibuat selepas Badan Perhubungan Umno Kelantan mengadakan mesyuarat kelmarin.

Menurut Setiausaha Perhubungan Umno Kelantan, Akbar Salim dalam kenyataannya, keputusan itu turut dipersetujui ahli Umno yang dihadiri 12 dari 13 bahagian setelah satu bahagian Tanah Merah digantung.

Bagi Mohamad Husain yang bersama dengan kepimpinan Pas Kelantan sebelum ini, pemimpin Pas yang ada sekarang tidak pernah menghormati perjanjian politik yang dipersetujui bersama, bermula dari zaman Pakatan Rakyat dan kini Muafakat Nasional.

“Sikap angkuh Pas yang bermaharajalela di Kelantan ini perlu diperbetulkan, dan ternyata parti itu semakin angkuh hingga sanggup mengkhianati persefahaman yang dijalin bersama Umno sebelum ini, setelah menikmati hasil lebih untung bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Bagi beliau, Kelantan kini menghadapi banyak masalah yang menjejaskan kehidupan rakyat kerana kegagalan pimpinan kerajaan negeri yang ada untuk menyelesaikan masalah rakyat dan sentiasa bermain politik dengan mereka.,

“Masalah bekalan air sehingga ke masalah kunci tayar kereta di kawasan parking yang dilihat ditangani tanpa timbang rasa walau rakyat hidup susah musim PKP ini menjadi rungutan semua pihak hatta pemimpin agensi kerajaan sendiri,” kata bekas ahli parlimen Pasir Puteh itu.

Oleh itu, Pas wajib disedarkan dari terus melakukan kesilapan ini dan jalan terbaik ialah dengan terjemahkan teguran ini pada kertas undi dalam PRU 15 akan datang, katanya.

Bagi beliau, jika Pas terus dibiarkan bermaharajalela di Kelantan, maka suara rakyat akan terus tenggelam dan Umno yang sebelum ini diisytihar rakan taawun mereka pun kini mula dipinggirkan setelah mendapat rakan baharu.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/amanah-kelantan-sedia-kerjasama-termasuk-dengan-umno/