Amanah Johor sudah atur gerak kerja hadapi PRK Tanjung Piai

Parti Amanah Negara (Amanah) Johor sudah mengatur gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sekali gus memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) di kawasan berkenaan.

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berkata beberapa mesyuarat berkaitan PRK itu sudah diadakan pihaknya termasuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menghadapi pilihan raya terbabit.

“Kita (Amanah Johor) sudah mengatur beberapa gerak kerja antaranya pertemuan dengan semua ketua-ketua kampung di Parlimen Tanjung Piai, tiga hari selepas kematian Ahli Parlimen Tanjung Piai Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

“Ini dilakukan supaya semua maklumat berkaitan masalah kampung dan keperluan dapat kita dengar serta melihat apa keperluan yang dijanjikan atau dikemukakan oleh ketua-ketua kampung ini kepada Allahyarham Dr Md Farid bagi diambil tindakan kerajaan,” katanya yang ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kota Puteri 2, di sini hari ini.

Aminolhuda berkata dalam masa sama, Amanah juga diberikan tanggungjawab menjaga lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup dalam usaha memberi tumpuan kepada rakyat.

Mengenai calon yang bakal diketengahkan PH bagi pilihan raya itu, Aminolhuda yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Teknologi Johor berkata pihaknya menyerahkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk meletakkan calon terbaik.

“Esok kita (PH Johor) akan ada mesyuarat khusus dengan Pengerusi PH negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dari segi calon, kita kena faham kerusi itu (Parlimen Tanjung Piai) adalah kerusi Bersatu dan dimenangi Bersatu. Tidak timbul mana-mana parti lain (komponen PH) hendakkan kerusi itu.

“Kita serahkan Bersatu untuk letakkan calon terbaik dan sesuai dengan rakyat sebagaimana Allahyarham Dr Md Farid iaitu seorang mudah didekati rakyat dan merendah diri,” katanya.

PRK Tanjung Piai yang ditetapkan 16 Nov depan diadakan berikutan kematian Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas, berikutan komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Md Farid, seorang pakar bius, memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

PRK Tanjung Piai merupakan PRK kesembilan selepas PRU14 pada 9 Mei tahun lepas.

BERNAMA