Amanah mahu kepercayaan penuh diberikan kepada pihak berkuasa dalam memberi keadilan kepada individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Pengarah Undang-undang Amanah Kelantan, Hisham Fauzi berkata, keadilan sepatutnya ditegakkan mengikut lunas undang-undang dan bukannya emosi semata-mata.
“Saya menyeru pimpinan PAS dan Umno agar jangan mrnjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara Taliban.
“Mereka sepatutnya faham maksud ‘bebas dengan jaminan polis’. Ia bukan bermakna pengakhiran kes.
“Sebaliknya bermaksud kebebasan sementara kes dipanggil semula untuk pendakwaan di mahkamah,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan rasa kesal susulan suspek yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dibebaskan dengan jaminan polis, baru-baru ini.
Pada 20 Februari lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 68 tahun yang dipercayai memuat naik status menghina Nabi Muhammad SAW di akaun Facebook Foo Sing Wai dan meremanya selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, lelaki itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
Susulan perkembangan itu, PAS dan Umno tampil menggesa kerajaan dan pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas malah turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi memberi tekanan.
Sementara itu, Hisham berkata, status suspek yang dibebaskan dengan jaminan polis bukan dibuat sewenang-wenangnya.
“Negara ini ada undang-undang dan undang-undang negara membenarkan seseorang dijamin dalam kes lazim.
“Bebas sementara ini pula dengan jaminan. Bukan bebas saja-saja. Jamin melibatkan wang jaminan dan penjamin. Ada aturan mengenai hal jamin ini dalam undang-undang,” jelasnya.
Sumber : https://m.malaysiakini.com/news/465659